Juki
Juki
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi rap baru, Juki yang tampil dengan imej bertudung ingin mengembangkan lagi dan mengubah persepsi peminat muzik untuk menerima penyanyi rap dengan imej sepertinya.

Juki, 23, berkata, menjadi penyanyi rap adalah cabaran besar buatnya sebagai pendatang baru.

"Menjadi penyanyi rap dengan imej bertudung sebenarnya menjadi cabaran besar. Namun, saya akan cuba perbaiki imej saya dari masa ke semasa.

"Genre muzik ini selalunya dipelopori lelaki. Jadi, apabila ada wanita yang bertudung muncul sebagai penyanyi rap, ia umpama satu benda baru dan kalau boleh saya nak kembangkan lagi perjuangan ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia mula menerima komen-komen yang membandingkannya dengan penyanyi rap bertudung, Bunga Isme, Juki memaklumkan bahawa dia belum menerima sebarang komen.

"Setakat ini, tak ada perbandingan yang saya terima daripada netizen. Semuanya komen-komen positif," katanya.

Terbaru, Juki muncul bekerjasama bersama tujuh penyanyi rap lain iaitu Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ical Mosh, Benzooloo, B-Heart dan Siqma menerusi lagu berjudul Dua Puluh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:21 PM