AMY bersama Nasir, Kid dan Nordin dalam album Katharsis yang juga merupakan penampilan terakhirnya sebelum berundur daripada kumpulan legenda itu.
AMY bersama Nasir, Kid dan Nordin dalam album Katharsis yang juga merupakan penampilan terakhirnya sebelum berundur daripada kumpulan legenda itu.
Riadz Radzi

"MUNGKIN ini album terakhir kami," itu kata bekas penyanyi Search, Amy mengenai album studio ke-12 mereka, Katharsis yang dipasarkan pada November 2017.

Amy berkata demikian ketika ditemui media selepas sidang media memperkenalkan album terbaharu Search itu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 2 November 2017.

Kata-kata itu akhirnya menjadi kenyataan tahun ini apabila Amy mengumumkan pengundurannya selaku penyanyi Search, penghujung Mac lalu.

Ia secara tidak langsung menjadikan Katharsis adalah album terakhir Amy bersama Search selepas terbabit dalam 10 daripada 12 album studio Search sejak 1985.

Jadi, Katharsis yang kini diabadikan dalam format piring hitam atau 'vinyl' dan bakal berada di pasaran pada 28 Julai ini wajib dimiliki sebagai koleksi.

Ia pasti menerbitkan 1,001 nostalgia buat peminat Search.

Presiden Pawana Music yang juga Penerbit Eksekutif album ini, Datuk Ahmad Zaharul Annuar berkata, piring hitam itu dicetak terhad sebanyak 500 unit sahaja dan boleh didapati di kedai muzik Fenomena Music di Plaza Damas, Kuala Lumpur dan beberapa kedai muzik terpilih serta penjual dalam talian dengan harga RM199.

"Ini album terakhir Amy bersama Search. Bagi 'collector' piring hitam tegar dan peminat Search, ini koleksi paling sesuai," katanya.

Menurut Ahmad Zaharul, ia menjanjikan bunyi audio yang lebih padat dan enak berbanding dalam format cakera padat (CD) yang dikeluarkan sebelum ini.

"Ia juga mengandungi buku lampiran yang memaparkan koleksi gambar-gambar sepanjang kerja pembikinan album dan juga konsert Search dalam kualiti tinggi," katanya.

KONSEP urban ethnic ditampilkan pereka fesyen, Jiman Casablanca cukup menarik.
KONSEP urban ethnic ditampilkan pereka fesyen, Jiman Casablanca cukup menarik.

Katanya, proses penerbitan piring hitam ini mula dilakukan di studio terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Sterling Sound pada 2018. Proses mastering pula dilakukan jurutera bunyi terkenal, Ryan Smith yang pernah mengendalikan album artis rock legenda dunia antaranya Ozzy Osbourne, AC/DC dan Coldplay.

"Proses 'pressing' ke format piring hitam dimulakan tahun lalu dan 'master' Katharsis dibawa ke kilang piring hitam Disc Makers di New Jersey untuk proses terakhir pembikinannya. Di situlah semua piring hitam, sampul, poster dan 'booklet' Katharsis dihasilkan dan dibungkus secara sistematik untuk edaran di Malaysia," katanya.

Katharsis juga adalah album studio Search yang ke-12 dan mencatat sejarah sebagai album Search paling lama dirakam iaitu 700 jam.

Album ini juga menyaksikan penampilan penuh pemain dram, Pae dalam album Search sekali gus memberikan kelainan serta nafas baru dari segi bunyi dan persembahan Search.

Selain riff gitar Kid yang lebih berat dan bertenaga, imej Search dengan konsep 'urban ethnic' oleh pereka fesyen dan gaya terkenal, Jiman Casablanca juga cukup menarik.

Dalam pada itu, muzik video rasmi lagu Gagalista dari album Katharsis juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Fenomena Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:23 AM