KUMPULAN Search pada majlis pelancaran album baru mereka bertajuk Katharsis di Hard Rock Cafe. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
KUMPULAN Search pada majlis pelancaran album baru mereka bertajuk Katharsis di Hard Rock Cafe. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ridzuan Abdul Rahman


“MUNGKIN ini album terakhir kami," kata vokalis Search, Amy mengenai album terbaru kumpulan itu berjudul Katharsis yang dijangka berada di pasaran hujung bulan ini.

Amy ketika ditemui berkata, dia merasakan demikian memandangkan usianya sudah mencecah 60 tahun pada tahun hadapan selain tempoh masa yang lama untuk menghasilkan album baru sejak album terakhir mereka, Gothik Malam Edan dipasarkan pada 2006.

"Sukar untuk saya mengungkapkan perasaan kami. Pada mulanya kami rasa seperti mustahil untuk menghabiskan rakaman album ini yang bermula sejak awal Ramadan lalu.

"Bagi saya mungkin ini album terakhir dan kami tidak tahu apa lagi selepas ini. Ketika awal perancangan album ini, saya tertanya-tanya betulkah nak buat?" katanya ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan album terbaru Search dan single terbaru mereka berjudul Sidang Kangaroo di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, anggota Search iaitu Nasir (bass), Din (gitar), Kid (gitar); penerbit album Datuk M Nasir; dan presiden Pawana Music, Datuk Ahmad Zaharul Annuar yang menerbitkan album berkenaan.

Amy berkata, keyakinan yang ditunjukkan Ahmad Zaharul yang juga peminat nombor satu Search akhirnya membuatkan ia menjadi kenyataan.

Katharsis juga mencatat sejarah peribadi buat Search dan M Nasir apabila mengambil masa selama 700 jam untuk disiapkan sepenuhnya.

Amy berkata, mereka lega kerana akhirnya berjaya menyiapkan album ini.

Album Katharsis diterbitkan M Nasir dan ia membawa maksud satu proses penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa raga dalam bahasa Yunani Purba. Ia turut dipilih M Nasir sebagai judul album studio ke-12 band rock nombor satu tanah air itu.

Sementara itu, lagu Sidang Kangaroo ciptaan M Nasir dan lirik Ishmael MS dipilih sebagai single pertama album berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:39 PM