AHMAD Idham. FOTO Fathil Asri
AHMAD Idham. FOTO Fathil Asri
Syafil Syazwan Jefri

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri memaklumkan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) masih lagi akan ditangguhkan penganjurannya sehingga ke tahun depan, akibat krisis Covid-19.

Menurut Idham, fokus kini adalah untuk memacu ekonomi terlebih dahulu sehingga keadaan benar-benar stabil.

"Banyak negara antaranya, Korea Selatan sudah mula menganjurkan semula acara besar seperti anugerah dengan mengadaptasikan normal baharu. Namun, kami tidak berhasrat untuk menganjurkan sebarang acara dalam masa terdekat kerana negara kita belum pulih sepenuhnya.

"Matlamat dan fokus utama saya adalah untuk memacu ekonomi terlebih dahulu. Apabila pawagam sudah beroperasi seperti biasa, penggambaran dapat dijalankan dan semuanya akan stabil. Selepas itu barulah kita akan bincangkan mengenai FFM31," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Idham, filem yang ditayangkan di platform selain pawagam juga berhak untuk bertanding di FFM akan datang.

"Walaupun tidak ditayangkan di panggung wayang, ia tetap filem. Kerana situasi yang menimpa dunia ini, ia melumpuhkan banyak industri termasuklah pawagam dan pengusaha filem terpaksa mencari alternatif lain.

"Jadi, tak jadi masalah untuk filem-filem itu dipertandingkan kerana ia adalah filem walaupun ditayangkan di TV atau pun platform digital," katanya.

Festival filem itu sepatutnya berlangsung pada 9 April lalu manakala malam kemuncak pada 18 April di Encore, Melaka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:02 PM