Oleh Michelle Gun


Selain mengenang jasa penggiat seni tanah air, Anugerah Industri Muzik (AIM) turut menyampaikan sijil penghargaan kepada stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas kerjasama menyiarkan acara tahunan itu di aplikasi Galaksi Muzik.

Sijil itu disampaikan Pengerusi AIM 21 Rosmin Hashim kepada Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dalam majlis tertutup di Angkasapuri pada 14 Januari lalu.

Ditubuhkan pada 2012, aplikasi itu mengadakan sesi temu bual bersama beberapa finalis AIM 21 seminggu sebelum acara itu berlangsung pada 6 Disember lalu.

Antara penyanyi jemputan adalah Salamiah Hasan, Poova, Nadhira dan Faizul Sany.

Sesi temu bual itu boleh disaksikan menerusi laman web Galaksi Muzik.

Pada rancangan itu, Galaksi Muzik turut mengundang finalis ke konti Muzik FM yang diuruskan khas oleh pihak AIM21.

Selain AIM 21, Galaksi Muzik turut menerima plak penghargaan daripada syarikat pengurusan artis rock zaman 80-an dan 90-an, IBAR Group pada 6 Januari lalu.

Penghargaan itu sebagai tanda terima kasih kerana menjemput artis rock ke program Rock Selamba Muzik FM yang dikendalikan penyampai, DJ Fairuz dan artis undangan, Ali Terra Rossa.

Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berharap kerjasama itu dapat memberi manfaat kepada ketiga-tiga pihak berkenaan dan industri muzik tanah air.

Menurutnya, RTM turut merancang untuk menyiarkan Galaksi Muzik menerusi TV Digital yang menggunakan Hybrid Broadcast Broadband TV.

“Sepanjang tahun lalu, program ini menerima sambutan 500,000 penonton dan pendengar.

“Menerusi program ini, radio RTM boleh berkembang pesat pada era media dan digital baru,” katanya.

Katanya, penonton dan pendengar dapat menikmati penyiaran muzik menerusi Internet serta gajet pintar.

“Pendengar boleh berkomunikasi dengan penyampai radio dan artis jemputan secara langsung menggunakan kamera web,” katanya.

Aplikasi Galaksi Muzik juga boleh dimuat turun dalam telefon bimbit menerusi aplikasi Play Store dan Google Play.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 8:51 AM