DARI kiri, Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd Datuk Norman Abdul Halim, Pengerusi SNA Wellness Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, Rosmin dan Pengurus Besar Parkroyal Kuala Lumpur, Mark Losi pada sidang media AIM22.
DARI kiri, Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd Datuk Norman Abdul Halim, Pengerusi SNA Wellness Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, Rosmin dan Pengurus Besar Parkroyal Kuala Lumpur, Mark Losi pada sidang media AIM22.
Michelle Gun


Selepas setahun ditunda, Anugerah Industri Muzik edisi ke-22 (AIM22) anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) kembali memeriahkan gelanggang seni tanah air dengan memperkenalkan lima kategori baru.

Kategori berkenaan ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube, Lagu Nada Dering Pemanggil Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Malaysia Terbaik.

Sementara kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang turut disertai penyanyi luar negara sebelum ini digugurkan daripada senarai AIM kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM22, Rosmin Hashim berkata, penambahan kategori baru dalam 24 kategori dipertandingkan sebagai tanda penghargaan sumbangan besar syarikat rakaman dalam muzik tempatan.

“Lima anugerah baru ini bertujuan mengiktiraf pencapaian lagu serta video muzik dalam digital semasa, sekali gus mencerminkan pasaran muzik tanah air.

“Tambahan pula, sebelum ini, AIM tiada kategori yang mengiktiraf syarikat rakaman,” katanya di sidang media baru-baru ini.

Menurut Rosmin lagi, AIM mahu memberi peluang kepada orang ramai terbabit dalam acara tu sebagai juri awam bagi kategori Penyanyi Malaysia Terbaik.

“AIM percaya pendengar di Malaysia bijak menilai bakat artis tanah air yang paling sesuai bagi kategori ini.

“Bagi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik pula, ia digugurkan tahun ini supaya tumpuan lebih diberikan kepada pengiktirafan artis tempatan,” jelasnya.

Pencalonan AIM22 dibuka untuk lagu dan album dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang diterbitkan di Malaysia dari 1 Julai 2014 hingga 30 Jun 2016.

Tempoh pencalonan sudah dibuka dan akan berakhir pada 29 Julai ini, jam 5 petang.

Borang pencalonan boleh dimuat turun di www.aim.org.my dan perlu diserahkan ke pejabat RIM sebelum tarikh tutup.

Maklumat lanjut mengenai lokasi dan tarikh AIM22 akan diumumkan ketika sidang media keputusan lima calon akhir pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:03 AM