ROSMIN (barisan tengah, 10 kanan) ketika sidang media pengumuman lima calon akhir AIM23, 1 Sept lalu. FOTO arkib NSTP
ROSMIN (barisan tengah, 10 kanan) ketika sidang media pengumuman lima calon akhir AIM23, 1 Sept lalu. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Empat pemenang bagi kategori utama iaitu Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) yang berlangsung Ahad ini bakal menerima Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik bernilai RM320,000 yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Pemenang Album Terbaik akan menerima DKD bernilai RM200,000, manakala Lagu Terbaik dan Artis Baharu Terbaik masing-masing menerima RM50,000. Pemenang Video Muzik Terbaik pula akan menerima DKD bernilai RM20,000.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, DKD ini adalah satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik. 

"Selaku penganjur AIM, kami amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan kerajaan terhadap penggiat industri muzik tempatan. Selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan  kreatif, inisiatif melalui DKD kepada  empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.

"DKD antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa. Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan melalui K-KOMM dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk industri muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi digital baharu," katanya. 

Menurut Rosmin, DKD yang diperuntukkan untuk pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang masing-masing supaya pelaburan DKD itu mencapai impak maksima dan produktif serta membabitkan pelbagai rantaian  peluang pekerjaan di dalam ekosistem industri muzik tempatan. 

"Sebagai contoh, DKD yang diperuntukkan untuk pemenang kategori Artis Baharu Terbaik boleh digunakan untuk menghasilkan single yang lebih berkualiti untuk penerima sekali gus meningkatkan pembangunan kerjaya artis berkenaan. Manakala, Lagu Terbaik membolehkan penerima menghasilkan single dan video muzik baharu dengan kualiti pengeluaran yang lebih tinggi. 

"Bagi pemenang Video Muzik Terbaik dan Album Terbaik adalah untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak album yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya. 

AIM23 bakal berlangsung Ahad ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria. 

Penjurian bagi menentukan pemenang diketuai Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 12:08 PM