Ikmal Amry bersama tunangnya.
Ikmal Amry bersama tunangnya.
Najiy Jefri


PESERTA Hero Remaja 2017 yang  kini bergelar pelakon dan model, Ikmal Amry sah menjadi tunangan orang selepas melangsungkan majlis berkenaan di kediaman kekasihnya dikenali, Najla di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.

Ikmal, 26, berkata, majlis yang diadakan di kediaman keluarga Najla itu dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak.

"Alhamdulillah, majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Sebenarnya, kami sudah lama merancang untuk mengadakan majlis ini memandangkan sudah hampir tiga tahun berkawan.

"Namun, atas beberapa faktor yang tidak dapat dielak serta permintaan keluarga untuk tak terburu-buru, kami akhirnya sepakat mempertemukan kedua keluarga pada Aidilfitri ini. 

"Lagipun, kami bimbang jika selepas ini masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan lain. Malah, majlis yang diadakan pun memang dibuat secara sederhana kerana tidak mahu membazir," katanya.

Menurut Ikmal lagi, hasil perbincangan keluarga kedua belah pihak, perancangan untuk mendirikan rumah tangga akan dibuat pada Disember depan.

"Mula-mula, keluarga sepakat memilih September untuk tarikh pernikahan kami, namun saya dan Najla terkejut kerana bimbang tidak sempat membuat persiapan dengan rapi. 

"Tambahan pula sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semuanya agak terbatas. Jadi, kami merancang untuk berkahwin pada Disember nanti.

"Disebabkan masih dalam PKPB juga dan tak tahu bilakah ia akan berakhir, kemungkinan hanya majlis pernikahan secara sederhana saja dilakukan untuk pemberitahuan kepada umum. 

"Kami juga tak merancang nak buat majlis yang gah, berikutan dalam keadaan sekarang ini apa yang lebih penting adalah  kehidupan selepas berkahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:32 PM