Pelakon, Arash Mohamad. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Pelakon, Arash Mohamad. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


"SAYA kesal dengan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Mereka terus berdiam diri sampai sekarang. Tidak ada sebarang penjelasan kepada kami, sedangkan sektor filem dan drama juga menyumbang kepada ekonomi negara."

Demikian kata pelakon berpengalaman, Arash Mohd, 51, yang kini resah dengan hala tuju industri hiburan tanah air khususnya dalam bidang lakonan selepas kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

Arash atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee ketika dihubungi berkata, dia mewakili penggiat seni lain merangkumi pelakon dan kru produksi menuntut penjelasan daripada Finas dan  Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) berhubung hala tuju terkini perjalanan industri hiburan.

"Saya bukan sengaja atau suka-suka nak wujudkan isu. Saya dan penggiat seni lain semua faham mengenai bahaya pandemik Covid-19 dan kenapa arahan PKPB itu dibuat, tapi tolong beri pencerahan dan penjelasan berhubung status  bidang kerja kami.

"Sudah hampir dua bulan urusan kerja membabitkan penggambaran tergendala hingga ramai kru produksi berdepan masalah kewangan. Jadi, apa tindakan penyelesaian untuk kami berhadapan situasi ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Arash, tidak semua individu dalam kalangan penggiat seni sepertinya lulus menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan.

Arash berkata, pendapatannya makin terjejas kerana tidak boleh bekerja.

"Apa tindakan Finas untuk membantu mengatasi masalah ini? Jangan anak tirikan kami. Dalam hal ini, saya minta tolong KKM untuk beri penjelasan dan kata putus apa yang sepatutnya kami lakukan supaya boleh kembali bekerja termasuk mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) ditetapkan," katanya.

Arash berkata dia yakin pihak penerbit, pengarah dan produksi tiada masalah untuk mengikut SOP ditetapkan terutama menyusun atur jadual kerja pelakon lebih terperinci supaya tidak berkumpul dalam satu masa.

Begitu juga dengan amalan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai penutup muka dan hidung dan menjaga kebersihan.

Katanya, Finas diharapkan tidak meminggir bidang seni ketika ini dan segera bertindak untuk membantu penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 1:56 PM