DR Md Nasir. FOTO Arkib NSTP
DR Md Nasir. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai semalam (1 Januari).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan, hari ini, berkata, perkara itu sekali gus tidak memberi kuasa perundangan kepada Finas berhubung isu lebih masa yang membabitkan penggiat seni.

"Maka, pandangan bahawa Finas mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataupun menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali, malah ia bercanggah dari segi undang-undang.

"Adalah diharapkan kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa Finas dalam isu berkaitan kerja lebih masa membabitkan penggiat seni terutama pelakon dan kru produksi penggambaran ini dapat diperbetulkan dengan penjelasan ini," katanya selepas mengambil maklum mengenai isu itu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 itu juga terpakai kepada penggiat industri filem yang terbabit dengan penggambaran membabitkan pelakon dan kru produksi.

Md Nasir turut berharap penggiat industri itu cakna dengan pindaan terkini berhubung akta itu supaya tiada salah faham timbul antara majikan dan pekerja.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 susulan terdapat keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan meskipun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 10:31 AM