SOPHIA bersama Budak Ngam juara Dansa Dan Sing musim pertama. FOTO ihsan Instagram Sophia Liana
SOPHIA bersama Budak Ngam juara Dansa Dan Sing musim pertama. FOTO ihsan Instagram Sophia Liana
Georgie Joseph


PENYANYI yang juga anggota DeFam, Sophia Liana dan kru tariannya Budak Ngam dinobatkan juara sulung program Dansa Dan Sing sekali gus membawa pulang RM100,000 serta trofi.

Sophia bersama Budak Ngam mendapat markah tertinggi dengan jumlah 67.06 dan menewaskan lima lagi peserta lain yang bertanding di pentas akhir program itu, semalam.

Sophia tampil bertenaga menerusi tiga tugasan persembahan membabitkan Kami Rappers nyanyian asal 4U2C, Amboi (Altimet), dan lagu Turn Down For What (DJ Snake & Lil Jon) dalam segmen ‘battle’ bersama Chubb-E.

Tempat kedua menjadi milik Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew yang tampil hebat menerusi lagu Mak Minah oleh Triple Noize, dan I Got A Feeling (Black Eyed Peas). Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 termasuk trofi.

Sementara itu, Shiha Zikir dan Team Squad berpuas-hati di tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Tempat keempat dimenangi Wani Kayrie & DeLitz disusuli Waris & Alamak di tempat kelima. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad pula berada di kedudukan terakhir iaitu tempat keenam dengan mengumpul markah keseluruhan sebanyak 56.81 peratus. Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 bersama trofi.

Malam kemuncak akhir yang dihoskan Hady Mirza dan Sherry Al Hadad menampilkan Datuk Rizalman Ibrahim dan Linda Jasmin sebagai juri tetap. Manakala Datuk AC Mizal dan Han-Byul diundang sebagai juri jemputan.

Penjurian dalam program ini adalah berdasarkan format 70!peratus daripada juri profesional dan 30 peratus lagi daripada undian peminat secara online.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:47 AM