Wani Kayrie (kiri) dan Bella Astillah.
Wani Kayrie (kiri) dan Bella Astillah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, 22, pernah bertekad untuk tidak menyertai sebarang pertandingan selepas kerap membabitkan diri dalam program realiti TV sebelum ini.  

Bagaimanapun menerusi program terbaharu terbitan TV3, Famili Duo, Wani menjelaskan, dia menerima pelawaan itu kerana pujukan penyanyi Bella Astillah yang ingin bergandingan dengannya.

"Saya sendiri tidak boleh kira sudah berapa program realiti TV saya terbabit. Mungkin orang rasa saya banyak masuk pertandingan, tapi saya masuk pertandingan Famili Duo ini pun atas jemputan Bella Astillah. Kalau orang lain, mungkin saya tidak akan terima.

"Bagi saya, kak Bella adalah sebahagian daripada ahli keluarga dan saya patut tolong dia. Kalau ikutkan hati saya, dah pasang niat untuk tidak terbabit  sebarang pertandingan. Tapi disebabkan ini duet, jadi saya terima sebagai salah satu peluang untuk orang lebih kenal," katanya.

Menurut Wani, sebagai penyanyi muda dia tidak pernah serik menerima segala kritikan juri,malah menganggap teguran yang diberikan adalah proses pembelajaran. 

"Ada pihak yang mempersoalkan saya sudah berada di fasa lain dalam bidang ini, tapi kenapa masih lagi mahu masuk pertandingan dan rela dikritik. Tapi bagi saya, sebenarnya kritikan juri ini yang saya suka.

"Dalam setiap pertandingan, saya hanya tertumpu kepada komen juri sebab saya rasa itu adalah sesi pembelajaran yang percuma. 

"Saya perlukan komen juri ini supaya sedar apa kekurangan yang boleh saya perbaiki. Sudah tentu saya masuk dalam industri ini untuk menjadi penyanyi yang baik.  

"Nak kata saya muka tebal apabila berdepan komen pedas juri pun, tidak jugq. Sebab ada masa saya menangis, tapi saya jadikan sebagai cabaran untuk buktikan kepada mereka yang saya boleh lakukannya," katanya. 

Untuk rekod, Wani pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian seperti Kamilah Bintang, World Championship Of Performing Arts (WCOPA), Big Stage 1, D'Academy Asia 4 serta Dansa & Sing.  

Program Famili Duo bakal menemui penonton di TV3 mulai Ahad ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:38 PM