AMAR Asyraf. FOTO Mustaffa Kamal
AMAR Asyraf. FOTO Mustaffa Kamal
Najiy Jefri


“Saya letak semua kesalahan atas diri sendiri. Saya tidak mahu salahkan sesiapa,” kata pelakon Amar Asyraf mengenai kontroversi demi kontroversi yang mengaitkan dirinya.

Amar berkata, setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dia kini sedaya upaya perbetulkan kesalahan lalu.

“Kalau perkara ini tak berlaku mungkin saya tidak berubah dan terus berada dalam zon selesa saja.

“Malah setiap kejadian yang berlaku membuatkan saya lebih dekat dengan Tuhan. Syukur perkara ini terjadi dan menyedarkan diri saya.

“Saya ini hamba yang sangat kerdil dan bila-bila saja boleh jatuh. Tapi saya syukur masih diberi peluang untuk terus hidup dan perbetulkan segala kesilapan,” katanya.

Menurut Amar, kontroversi panas yang berlaku dalam hidupnya tidak mengganggu kerjaya seni lakonannya.

“Saya tidak akan biarkan kontroversi yang berlaku memberi kesan kepada kerja. Walaupun apa yang berlaku ini amat mengganggu emosi, tapi saya sedaya upaya menanganinya dengan sebaik mungkin.

“Sehingga kini saya tak baca komen dan Instagram saya juga privasi. Apa yang berlaku ini banyak menyedarkan saya.

“Selama tiga tahun ini banyak perkara yang membuatkan saya alpa tapi bersyukur Tuhan tetap beri peluang untuk saya berusaha gigih kembali,” katanya.

Sebelum ini, industri hiburan dikejutkan dengan pendedahan seorang wanita bernama Ellika Azman yang hampir berkahwin dengan Amar namun perancangan itu gagal selepas mengetahui aktor terbabit mempunyai seorang lagi isteri dan anak hasil perkahwinan kedua.

Tidak hanya itu, pendedahan terbabit turut membawa dengan kemunculan isteri kedua Amar iaitu Vivi yang membuka mulut dan mengaku mereka sudah berkahwin beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun baru-baru ini Amar mengakui sudah menceraikan isteri keduanya itu dengan talak tiga dan proses perceraian sedang berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 5:53 PM