Enggan disamakan dengan penyanyi Cakra Khan hanya kerana memiliki suara serak-serak basah
Enggan disamakan dengan penyanyi Cakra Khan hanya kerana memiliki suara serak-serak basah
Najiy Jefri


PENYANYI baru Razak A’ai enggan disamakan dengan penyanyi terkenal Cakra Khan hanya kerana memiliki suara yang serak-serak basah dan garau persis penyanyi itu.

Razak berkata, memang ramai yang memperkatakan perkara itu di media sosial hingga dia turut didakwa meniru dan berangan untuk menjadi Cakra.

“Barangkali persamaan itu kerana nada vokal kami seakan sama. Malah, ada juga yang menggelarkan saya Louis Armstrong.

“Tetapi, tidaklah sampai saya ‘berangan’ suara saya mirip Cakra. Bagi saya, sebagai bintang baru, saya perlu mencari identiti sendiri.

“Malah saya sebolehnya mengelak untuk menyanyikan lagu Cakra apabila buat ‘cover’ atau persembahan pentas. Saya enggan disamakan dengan dia.

“Biarlah saya naik dengan nama sendiri dan saya yakin perkara itu membuahkan hasil kelak. Lagipun penerimaan untuk lagu baru saya juga semakin diminati,” katanya ditemui baru-baru ini.

Tampil dengan lagu Aku Setia hasil ciptaan sendiri, Razak mengakui langkahnya lebih yakin selepas bernaung dengan Todak Music.

“Sebelum ini, ketika berusia 19 tahun, saya pernah mencuba nasib dalam bidang seni tetapi ia tidak membawa impak positif diharapkan.

“Kini, saya sudah berusia 25 tahun, kembali ke persada seni dan bernaung di bawah Todak Music. Saya akui, perjalanan kerjaya lebih teratur dan muncul pula dengan lagu Aku Setia yang mendapat maklum balas baik orang ramai.

Razak di majlis prapelancaran Todak Motorsports.
Razak di majlis prapelancaran Todak Motorsports.

“Todak Music memberikan saya peluang untuk berkarya dengan mereka. Saya seronok kerana mereka sentiasa menyediakan peluang untuk berani tampil berkongsi bakat yang dimiliki,” katanya.

Hampir sebulan Aku Setia berada di platform YouTube, Razak optimis apabila lagu barunya itu mendapat lebih 60,000 tontonan di platform terbabit.

“Saya kira satu pencapaian yang membanggakan kerana kehadiran saya masih baru tapi ada yang sudi mendengar.

“Malah ada yang memaklumkan bahawa ada pengikut di Indonesia turut mendengar lagu saya. Itu yang membuatkan saya berasa terharu dengan penerimaan diberi.

“Saya harap ada banyak lagi peluang untuk terus berkarya dan mengembangkan bakat dalam industri seni tanah air,” katanya.

Menyentuh mengenai prapelancaran Todak Motorsports, acara terbabit diadakan sempena penjenamaan semula Todak Racing dan merencana agenda menarik sepanjang 2020.

Majlis itu juga menjelaskan hala tuju kelab komuniti ini yang dibangunkan sebagai satu dukungan dan inisiatif menyemarakkan arena sukan permotoran negara.

Pada majlis itu, Razak tampil menghiburkan lebih 200 tetamu yang hadir dan rata-rata terpukau dengan alunan suaranya yang dianggap unik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:30 AM