Najiy Jefri


SEUNIK namanya, begitu juga dengan keunikan vokal dimiliki pemuda berkulit sawo matang ini.

Razak A’ai, pendatang baru dalam industri muzik ini sering mendapat jolokan Louis Armstrong dan Cakra Khan Malaysia.

Gelaran itu diberikan sejumlah besar pengikutnya yang sudah biasa melihat persembahan jejaka kelahiran Kuching, Sarawak itu sama ada persembahan di jalanan atau saluran media sosial seperti YouTube, Instagram, Twitter dan Facebook.

Memiliki tona suara maskulin, single artis naungan Todak Music ini dapat diperdengarkan menerusi lagu berjudul Aku Setia.

Bercerita mengenai lagu Aku Setia, Razak berkata, lagu itu adalah lagu ciptaannya sendiri.

Bagi menyuntik kelainan, beberapa bait lagu ini turut meminjam suara Alyssa Dezek, bintang kecil berbakat besar yang cukup sinonim dengan persembahan ukulele.

“Idea menghasilkan lagu ini pada mulanya adalah sebagai luahan rasa terhadap ibu saya. Sebelum bersama Todak Music, saya pernah bersama sebuah syarikat rakaman dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita sebagai penyanyi di usia yang sangat muda iaitu 18 tahun.

“Pernah menghasilkan sebuah single, namun ia kurang menjadi. Kehidupan sebagai anak seni juga sangat mencabar. Keadaan itu mendesak saya pulang ke kampung halaman dan ia disambut dengan penuh rasa gembira oleh ibu saya.

“Ibu sarankan saya supaya mencari pekerjaan lain di Kuching dan tinggal bersamanya. Tidak beberapa lama kemudian saya mendapat tawaran daripada Todak Music. Minat terhadap muzik menggesa saya untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Hendak dijadikan cerita keputusan saya untuk menyanyi mendapat tentangan daripada ibu pada awalnya. Tetapi, saya berjanji saya akan membawa pulang kejayaan kali ini dan berharap ibu saya setia menunggu momen itu,” katanya.

SEDIA gegar persada seni suara.
SEDIA gegar persada seni suara.

Mentafsir makna lagu ini yang boleh diguna pakai dalam konteks meluas, Razak A’ai berkongsi makna cinta, kasih dan setia kepada peringkat hubungan sejagat atau universal.

“Dengan erti kata lain, ia boleh diaplikasikan untuk pengertian cinta antara pasangan kekasih.

“Sering terinspirasi dengan karya pop dari Indonesia, single ini mengetengahkan melodi yang mesra pendengar sebagaimana kebanyakan genre muzik dibawa penyanyi mahupun band Indonesia,” katanya.

Beralih mengenai video muzik Aku Setia yang baharu saja selesai penggambaran, Razak berkata, ia terinspirasi daripada tragedi menyayat hati yang pernah menggemparkan dunia.

Belum mahu berkongsi lanjut mengenainya, semuanya bakal didedahkan pada majlis pelancaran single Aku Setia yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

“Walaupun baru dilancarkan 11 Januari lalu, tapi muzik video sudah pun mencecah hampir 24,000 tontonan di YouTube.

“Jumlahnya dijangka meningkat dengan bantuan pendedahan yang diberikan semua pihak termasuk rakan media.

Menurut Razak, dia sudah bersedia menggegarkan persada seni suara dan berharap nasib kali ini menyebelahinya kerana yakin dia mampu menawarkan kepelbagaian kepada industri seni.

“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada pihak Todak Music kerana meyakini bakat saya. Todak Music sebuah syarikat rakaman yang kini sedang memberi inisiatif dalam membawa revolusi baharu dalam industri muzik.

“Seiring misi dan visi mereka, saya di sini bukan untuk mencipta nama sebagai penyanyi saja, tetapi pencipta lagu serta lirik juga.

“Mungkin suatu hari nanti, saya diberi peluang bekerjasama dengan penyanyi tempatan menghasilkan lagu buat mereka. Selain dapat bekerjasama dengan komposer terkenal tempatan, bertukar-tukar idea menghasilkan sebuah karya yang diterima ramai.

“Saya percaya gabungan idea dapat menghasilkan sebuah karya yang lebih menarik,” katanya.

Ditanya mengenai vokalnya yang sering disamakan dengan Cakra Khan dan Louis Armstrong, Razak A’ai optimis dalam menyantuni kesamaan itu sebagai satu kelebihan juga bonus untuknya.

Bagi Razak, harapannya cuma satu, supaya tidak dibayangi sesiapa kerana percaya bahawa dia mempunyai kelebihan dan identiti tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 6:30 AM