SITI Fazurina bersama suaminya, Hykal dan anak saudara mereka, Faith Aurora ketika sidang media drama terbaru terbitan TV AlHijrah berjudul "Boss... Mama Kirim Salam", di Studio Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Islam, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Fazurina bersama suaminya, Hykal dan anak saudara mereka, Faith Aurora ketika sidang media drama terbaru terbitan TV AlHijrah berjudul "Boss... Mama Kirim Salam", di Studio Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Islam, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin


PELAKON drama Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir, 38, mengaku hubungan rumah tangganya dengan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 39, kini semakin baik.

Pada 11 September tahun lalu, Siti Fazurina menarik balik permohonan cerai kali ketiga dibuatnya terhadap Muhammad Hykal Mahkamah di Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Menurut Siti Fazurina ketika di temui selepas majlis pelancaran drama Bos, Mama Kirim Salam baru-baru ini, soal rumah tangga membabitkan suami isteri adalah perkara yang sukar difahami oleh orang lain.

"Apapun, bagi saya di antara kami sebenarnya masing-masing ada membuat kesilapan. Jadi, kenapa tidak memberi peluang?

"Oleh itu, dengan peluang diambil kami sepakat menggunakanya untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik.

"Alhamdulilah, sekarang hubungan kami bertambah baik. Tetapi, tak taulah pada masa akan datang nanti," katanya.

Menafikan permohonan cerai pernah dibuatnya berkaitan zuriat, Siti Fazurina berkata tiada kena mengena dengan perkara itu.

"Jika kami berpisah pun ketika itu (tahun lalu) bukan kerana anak tetapi disebabkan sudah tiada persefahaman.

"Saya dan suami, sejak belum berkahwin sehingga akhirnya berumah tangga, kami adalah bersahabat baik.

"Justeru, sampai sekarang pun kami bersahabat kerana masing-masing bekerja dalam aliran sama iaitu suami di bahagian produksi," katanya.

Mengulas juga soal anak, Siti Fazurina berkata dia berhasrat akan menimang cahaya mata pada tahun ini.

"Pada usia sekarang, saya cuma mampu berdoa dan berharap semoga rumah tangga kami akan diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata.

"Seorang pun cukuplah. Namun, semuanya tetap bergantung pada rezeki daripada Allah. Semoga doa saya dimakbulkan," katanya.

Apapun, Siti Fazurina berkata dia bersyukur kerana tidak mendapat tekanan soal zuriat daripada suami dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 1:50 PM