ANDING. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ANDING. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin


NAMA Anding Indrawani Zaini, 37, bukanlah asing dalam industri hiburan tempatan kerana begitu aktif di pentas teater.

Apatah lagi, Anding dan dunia pementasan bagaikan berpisah tiada apabila beberapa tahun lalu dia dilihat sering bekerjasama dengan produksi teater milik pelakon Puan Seri Tiara Jacquelina.

Anding mula diketengahkan di pentas program realiti TV, Akademi Fantasia musim kedua (AF2), pada 2004.

Kini, sesudah 16 tahun berlalu ternyata nama dan bakat seni Anding lebih menyerlah dalam lakonan.

Bagaimana pula aktiviti nyanyiannya?

Mengulas soal itu, Anding berkata, dia masih berminat dengan nyanyian, cuma cabaran kepadanya kini adalah untuk mendapatkan lagu baharu yang sesuai.

“Sebenarnya, saya tidak menolak jika masih dapat peluang untuk merakamkan lagu baharu selepas kali terakhir melakukannya pada 2006.

“Kalau dikira, rasa-rasanya sudah 14 tahun saya tidak masuk ke studio merakamkan lagu. Malah, lagu terakhir pernah saya rakam berjudul Gadis Dari Jakarta.

“Bagaimanapun, lagu itu tidak membantu saya menyerlahkan bakat nyanyian. Melodi dan lirik lagunya menarik, tapi tiada rezeki,” katanya.

Anding yang cukup menyerlah dalam lakonan teater Mud the Musical berkata, untuk muncul dengan lagu baharu, dia tidak ada perancangan.

“Setakat ini, saya belum terfikir nak menghasilkan lagu baharu walaupun keinginan dalam hati masih ada. Ini kerana, saya perlu ambil kira banyak faktor.

“Ditambah, sekarang penyanyi baharu sangat ramai. Bahkan, ada di antara mereka memiliki bakat lain seperti mahir mencipta lagu dan bermain peralatan muzik.

‘Tak dinafikan, saya kagum dengan perkembangan bidang nyanyian dan muzik tanah air pada masa kini. Bagi saya, banyak perubahan berlaku,” katanya

Mengulas genre lagu yang menjadi impiannya untuk dirakam jika berpeluang, Anding berkata, dia mahu merakamkan lagu berunsur budaya seperti mengetengahkan kecantikan budaya negeri di Malaysia.

Anding yang kini menetap terus di negeri kelahirannya, Sarawak berkata, dia sangat menyukai lagu berjudul Original Sabahan yang dinyanyikan kumpulan Atmosfera dari Sabah.

Katanya, melodi dan lirik lagu itu sangat menarik kerana dekat dengan budaya masyarakat Sabah.

Menurut Anding, lagu bertemakan budaya agak sentimental.

Kini, bekerja secara kontrak dengan RTM Sarawak, Anding berkata komitmen kerjanya sebagai pengacara dan penulis skrip untuk program bual bicara dikenali Kopa Kopi disiarkan secara langsung setiap Selasa.

Balik menetap di kampung halaman juga membolehkan Anding menjaga dan menemani ibu, Juncy Abdullah selepas bapanya, Zaini Oze meninggal dunia pada November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:05 AM