Tajul dan isteri menimang cahaya mata kedua.
Tajul dan isteri menimang cahaya mata kedua.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Tajul Arif, 23, cedera ringan di leher akibat ditarik isterinya, Nurul Shamieza Eddie, 25, ketika melahirkan anak kedua mereka di sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor, semalam.

Tajul berkata, ia berlaku ketika isterinya mengalami kontraksi agak kuat ketika proses bersalin itu.

"Walaupun kepala saya terkehel tadi sebab isteri saya tarik waktu kontraksi dia tengah kuat, nasib baik masih selamat. Nama anak nanti saya akan umumkan," katanya.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari bersyukur kelahiran bayi lelaki seberat tiga kilogram itu dipermudahkan dan bakal berkongsi namanya kelak.

"Alhamdulillah, berkat doa semua. Tak sampai satu jam bertarung nyawa dalam bilik bersalin, isteri saya sudah selamat bersalin dengan normal. Berat anak tiga kilogram, bayi lelaki, sepasang sudah dapat," tulisnya menerusi Instagram.

Bagaimanapun, Tajul tidak mendedahkan wajah bayinya itu.

Dia turut dihujani ucapan tahniah selepas berkongsi berita gembira itu di Instagram.

Tajul turut berkongsi gambar luka kecil pada bahagian leher akibat ditarik isterinya itu.

Tajul dan Nurul Shamieza mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Adriana Carisa yang kini berusia setahun.

Terdahulu, penyanyi Izinkan Aku itu mendedahkan kehamilan anak kedua itu agak mencabar.

Dia bimbang isterinya terpaksa melahirkan anak mereka tanpa ditemaninya berikutan penularan Covid-19.

t

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:24 PM