Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Ruhainies memberi bayangan satu daripada majlis perkahwinan bersama kekasih dikenali sebagai Mr E bakal diadakan di London.

Bagaimanapun, Ruhainies, 27, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, sebagai wanita tidak manis untuknya bercerita lanjut perkara itu sebaliknya menyerahkan kepada kekasih untuk menjawab segala persoalan.

“Dia ada tanya, majlis nikah nanti mahu buat di sini atau London. Saya cakap tidak tahu.

“Saya serahkan pada dia tentukan. Kalau boleh, saya mahu dia jawab semua persoalan ini sebab dia lelaki,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam masa terdekat, Ruhainies menafikan perkara itu.

Malah, pelakon drama Jejak Karmila itu berkata, dia akan berkahwin selepas kakaknya yang juga pelakon, Nur Risteena mendirikan rumah tangga tahun ini.

“Tarikh kahwin saya biarlah rahsia dan menjadi elemen kejutan. Apa saya boleh katakan, perancangan ke arah itu bukan dalam masa terdekat.

“Kalau boleh, mahu kakak kahwin dulu. Insya-Allah, majlis perkahwinannya berlangsung tahun ini. Lagi pula, saya tidak mahu langkah bendul.

“Keluarga saya pula jenis kena ikut adat. Mahu atau tidak, memang kena lepaskan kakak dulu,” katanya.

Ruhainies berkata, soal kahwin bukan perkara mudah dan disebabkan itu dia tidak mahu tergesa-gesa.

“Kalau tanya mengenai persediaan, dalam dunia ini tidak ada siapa yang bersedia terutama apabila bercakap soal kahwin.

“Ini disebabkan masing-masing inginkan yang terbaik. Macam saya sendiri pun, masih berasa diri tak sempurna.

“Apa pun, doakan yang terbaik untuk saya dan segala dirancang dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

November tahun lalu, Harian Metro melaporkan Ruhainies mengakui sudah dilamar kekasihnya ketika bercuti di Itali.

Ruhainies berkata, lamaran itu dibuat sempena genap setahun perkenalan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 4:38 PM
RUHAINIES memberi bayangan akan bernikah dengan kekasihnya, Mr E di London. FOTO Instagram Ruhainies
RUHAINIES memberi bayangan akan bernikah dengan kekasihnya, Mr E di London. FOTO Instagram Ruhainies