AZZA menganggap dirinya budak baru belajar dan masih memerlukan bimbingan. FOTO Arkib NSTP
AZZA menganggap dirinya budak baru belajar dan masih memerlukan bimbingan. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


ANGGOTA kumpulan Elite yang juga pelakon Nor Azzarima Zawari atau Azza, mengharapkan peminat parodi MeleTop tidak membandingkan corak persembahannya dengan pelawak terkenal, Jihan Muse yang terlebih dulu mencipta nama menerusi program itu.

Sebaik muncul menerusi program popular itu, ada penonton setia cuba membandingkan Azza dengan Jihan.

Menurut Azza yang turut bergelar pengacara program di Go Shop, dia menganggap dirinya budak baru belajar dan masih memerlukan bimbingan daripada pelakon wanita itu.

Sewaktu dihubungi hari ini katanya, walaupun dia sudah lama berlakon tetapi Jihan terlebih dulu muncul mengendalikan program parodi MeleTop.

“Untuk menghasilkan parodi bukan mudah kerana seseorang pelawak itu harus mahir meniru suara orang yang mahu diparodikan. Kalau tidak dengan suara, pelawak itu harus pandai meniru gaya atau fesyen.

“Orang nampak untuk menghasilkan parodi mudah tetapi hakikatnya susah kerana kita harus menjadi orang lain. Apatah lagi kita cuba meniru gaya orang yang dikenali, membabitkan selebriti tempatan,” katanya.

Katanya, dia menganggap Jihan sebagai ‘sifu’ yang banyak berkongsi ilmu bagaimana hendak menghasilkan parodi terbaik.

Begitu juga dengan seorang lagi pelakon parodi dan sering menjadi pasangan Azza, Bell Ngasri yang menurutnya banyak memberikan tunjuk ajar.

Azza berkata, perbandingan tidak sepatutnya berlaku dan sebaliknya menurut pelakon dan penyanyi itu lagi, dia mengharapkan penonton setia program itu memberikan dirinya peluang.

“Benar sebelum ini saya banyak membintangi drama komedi seperti Tiga Dara Pingitan dan Mat Despatch. Bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Sharifah Shahira dan Raja Azura membuatkan saya berpeluang menimba ilmu.

“Cuma apabila membuat kemunculan kembali saya ada rasa malu dan rendah diri apabila mahu menghasilkan parodi,” katanya.

Bagaimanapun sokongan diberikan rakan pelakon dan produksi MeleTop itu sendiri membuatkan Azza kini semakin yakin dengan bidang baru diceburi.

“Setiap kali menjalani rakaman, kebanyakan rakan pelakon termasuk Jihan sendiri memberikan komen positif dan begitu juga dengan kakitangan produksi parodi MeleTop itu sendiri. Sedikit demi sedikit saya sudah semakin yakin.

“Namun untuk disama taraf dengan corak persembahan diberikan Jihan, saya rasa belum lagi kerana masih baru dan banyak lagi perkara yang perlu perlu belajar mengenai corak lakonan parodi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:20 PM