IPPO Hafiz.
IPPO Hafiz.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Ippo Hafiz cukup dikenali di dalam industri seni muzik tanah air sebagai penyanyi dan komposer lagu runut bunyi atau OST untuk drama tempatan.

Malah, tahun ini tentunya menjadi tahun yang penuh bermakna buat Ippo apabila meneruskan langkahnya untuk menghasilkan lagu buat naskhah drama tempatan yang bakal menghiasi kaca TV.

Sebagai pembuka untuk tahun ini, Ippo baru saja melancarkan single berjudul Seadanya Aku yang turut menjadi lagu tema drama Seadanya Aku yang ditayangkan di slot Akasia, TV3.

“Single ini saya hasilkan khas untuk drama bersiri Seadanya Aku. Menariknya, saya tampilkan bintang utamanya, Zara Zya sebagai pelakon dalam video muzik lagu ini,” katanya.

Bercerita mengenai pemilihan Zara, Ippo berkata, itu adalah untuk memberikan momentum kepada penonton setia drama itu.

“Saya memilih Zara kerana dia pelakon utama drama itu. Jadi, penonton dah cukup kenal dengan karakternya, sekali gus sesuai dengan jalan cerita dalam lagu ini.

“Kalau boleh, saya nak penonton rasa jiwa yang ingin disampaikan menerusi lagu ini dan dapat dikaitkan dengan jalan cerita dalam drama itu,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasamanya dengan Zara, Ippo juga tidak menolak sekiranya dia berpeluang menghasilkan lagu untuk pelakon itu.

“Zara bukan saja boleh berlakon dan saya tahu kemampuannya dalam nyanyian. Jadi, Insya-Allah, kalau ada peluang untuk saya hasilkan lagu untuk Zara. Saya impikan untuk hasilkan karya seperti penyanyi Astrid dari Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran lain untuk menghasilkan OST drama, Ippo mengakui ada menerima beberapa tawaran.

“Saya ada terima beberapa tawaran daripada pelbagai syarikat produksi tempatan. Namun, saya perlu fokus satu persatu kerana saya nak hasilkan karya yang berkualiti.

“Prosesnya juga memakan masa lama daripada sinopsis sehingga saya sendiri juga akan turun ke lokasi penggambaran.

“Ini penting untuk saya memahami jalan cerita naskhah itu dan pada masa sama saya dapat menjiwai setiap karakter yang akan saya dimasukkan dalam lagu OST itu,” katanya.

Selain karier muziknya yang semakin menjulang, satu lagi khabar gembira dikongsikan oleh Ippo apabila isteri tercinta, Nur Farahin Roslan hamil tiga bulan.

“Alhamdulillah, usia kandungan isteri saya hampir masuk tiga bulan dan setakat ini semuanya berjalan lancar. Saya doakan kehadiran cahaya mata ini akan membuka lebih banyak pintu rezeki buat kami sekeluarga dan orang di sekeliling saya,” katanya.

Sebelum berumah tangga, Ippo mempunyai anak angkat perempuan, Cinta Rizky Amanda yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:00 AM