LEWIS Capaldi pada sidang media sempena konsert Lewis Capaldi Live In Kuala Lumpur di KL Live. FOTO Aizuddin Saad
LEWIS Capaldi pada sidang media sempena konsert Lewis Capaldi Live In Kuala Lumpur di KL Live. FOTO Aizuddin Saad
Georgie Joseph

WALAUPUN namanya kini melonjak naik, penyanyi dan penulis lagu Lewis Capaldi tidak mahu dibuai populariti luar biasa diterimanya dari seluruh dunia.

Bintang berusia 23 tahun dari Scotland itu berkata, populariti adalah sesuatu yang berbahaya sekiranya diambil secara serius.

“Saya melihat populariti itu lebih kepada keseronokan dan pengajaran. Saya rasa ia pasti hanya akan menimbulkan masalah jika seseorang artis menilai dirinya berdasarkan tahap populariti.

“Bezanya sekarang, jika dulu saya pergi membeli jeans hanya ambil masa sekejap, sekarang ambil masa berjam-jam. Ini disebabkan orang kenal saya dan mahu bersembang.

“Saya pun bukannya popular seperti Ed Sheeran dan Justin Bieber. Namun, saya harus akui berada pada tahap ini masih sukar untuk diri-sendiri percayai,” katanya dalam sidang media sempena konsert Lewis Capaldi Live In Kuala Lumpur di KL Live, hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Someone You Loved itu juga percaya populariti ada pasang surutnya dan dia tidak akan terdesak untuk melakukan sesuatu demi menaikkan namanya semula kelak.

“Album pertama saya memang luar biasa penerimaannya sehingga melonjakkan nama saya. Tapi siapa tahu nanti album kedua tidak sebaik yang pertama sekali gus nama saya kembali suram.

“Apapun, saya tidak akan tergamak untuk melakukan perkara seperti mengadakan konsert bodoh demi menarik perhatian orang semula pada masa depan,” katanya yang pertama kali hadir ke Malaysia.

Nama Lewis mula meledak sekitar tahun lalu selepas lagu Someone You Loved menguasai carta-carta muzik utama di seluruh dunia.

Dia turut meraih pencalonan besar di Brit Awards 2020 menerusi kategori Album Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Penyanyi Lelaki Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 5:03 PM