AZLAN & THE TYPEWRITER
AZLAN & THE TYPEWRITER
Norhayati Nordin


PENYANYI dan komposer Azlan & The Typewriter menafikan dia ‘sepi’ selama dua tahun dari industri muzik kerana tergugat dengan kemunculan golongan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU).

Azlan, 38, berkata, tindakan ‘berehat seketika’ mulai 2017 itu dilakukannya untuk muhasabah diri dan mengenal pasti genre lagu yang disukai pendengar masa kini.

“Saya bukan merajuk dengan industri muzik atau berasa tergugat pada penyanyi baru dan muda, cuma saya perlu berusaha mendapatkan ilham untuk lagu terbaik.

“Ia berikutan, saya melihat perkembangan industri hiburan tanah air terutama nyanyian sangat laju dan saya harus akur dengan perubahan itu,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nor Azlan Rosle ini berkata, pada awal pembabitannya dalam industri muzik ketika bersama kumpulan Meet Uncle Hussein dahulu, masyarakat tertumpu pada Myspace.

AZLAN & The Typewriter kembali dengan semangat baru. FOTO ASWADI ALIAS.
AZLAN & The Typewriter kembali dengan semangat baru. FOTO ASWADI ALIAS.

“Namun, sekarang ada pelbagai platform digital yang muncul dan mendapat perhatian masyarakat. Justeru, saya harus akur masa yang sudah berlaku.

“Kini, dengan semangat dan kerjasama pasukan baru, Indigital Music saya muncul pertaruhkan lagu solo berjudul Jangan Khianati Aku hasil ciptaan ssndiri.

“Malah, saya bersyukur lagu ini memberi impak untuk sinarkan semula kerjaya nyanyian apabila ssmakin mendapat perhatian pendengar,” katanya.

Azlan berkata lagu Jangan Khianati Aku yang menjadi lagu tema drama Pesan Pada Hati di TV3 juga banyak membantu karya itu dikenali.

Setakat ini, tontonan lirik dan muzik video lagu Jangan Khianati Aku di YouTube sudah mencatat lebih 1.6 juta dan ia dianggap pencapaian terbaik Azlan di permulaan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 8:49 PM