Azlan berkira-kira mengundang Kris membuat persembahan bersamanya di Malaysia selepas fenomena dicetuskan di Indonesia. Foto NSTP Nazri Abu Bakar
Azlan berkira-kira mengundang Kris membuat persembahan bersamanya di Malaysia selepas fenomena dicetuskan di Indonesia. Foto NSTP Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Tiada yang lebih mengujakan Azlan & The Typewriter apabila single Jangan Khianati Aku dendangannya, tular di Indonesia selepas lagu itu dipersembahkan peserta program realiti, X Factor Indonesia, Kris Tomahu, hingga mengalih perhatian ramai terhadap bingkisan berkenaan.

Azlan atau nama sebenar, Nor Azlan Rosle Sallehudin gembira sebaik menyedari lagu Jangan Khianati Aku mula diperkatakan di Indonesia, apatah lagi, versi Kris mendendangkan lagu itu merekodkan lebih empat juta tontonan di platform YouTube.

Tidak hairanlah, Azlan berkira-kira mengundang Kris membuat persembahan bersamanya di Malaysia selepas fenomena dicetuskan di Indonesia.

"Saya bercadang menjemput Kris membuat persembahan bersama di Malaysia sebelum saya tampil di Indonesia pada masa sesuai kelak," katanya ditemui pada majlis perasmian malam kemuncak Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 di Dataran Klebang di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, aksi pempengaruh yang meniru suara Azlan mendendangkan lagu raya di platform TikTok turut menarik perhatian vokalis The Typewriter itu.

"Secara peribadi, saya anggap ini perkara biasa. Hidup kita ada unsur humor dan komedi yang ingin disampaikan bagi menghiburkan orang ramai.

"Saya anggap aksi dikongsi pempengaruh sebagai suka-suka. Mereka biasanya ingin menghiburkan pengunjung laman media sosial sehingga mendapat jumlah pengikut dan 'like' yang tinggi daripada netizen," katanya yang menyambut Syawal di kampung halamannya di Kampung Air Paabas, Alor Gajah dan Johor Bahru, Johor.

Azlan menyifatkan pempengaruh terbabit berbakat apabila dapat menarik perhatian netizen dengan meniru vokal Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusof Haslam dan Syamsul Yusof melalui pilihan lagu serta sketsa menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:32 AM