ALIFF boleh didenda tidak melebihi S2,000 (RM6,114) atau dipenjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. FOTO Instagram Aliff Aziz
ALIFF boleh didenda tidak melebihi S2,000 (RM6,114) atau dipenjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. FOTO Instagram Aliff Aziz
Ardini Sophia Sina


PENYANYI dan pelakon, Mohamad Aliff Aziz atau Aliff, 28, didakwa di Mahkamah Negara (Singapura) semalam atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan menjerit-jerit dan menunjukkan isyarat dengan tangan ketika berada di tempat awam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Aliff melakukan kesalahan itu di kawasan Orchard Towers di Orchard Road jam 6.25 pagi pada 10 November lalu.

Jika sabit kesalahan, Aliff boleh didenda tidak melebihi S$2,000 (RM6,114) atau dipenjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menerusi laporan portal Berita Mediacorp, pada 10 November lalu, selebriti itu ditangkap di Orchard Road kerana mengganggu ketenteraman awam.

Dua video turut tular di media sosial pada hari yang sama menunjukkan Aliff cuba menghubungi bapanya bagi mendapatkan bantuan.

Bekas suami penyanyi Bella Astillah itu menjerit-jerit memberitahu bapanya menerusi telefon bahawa ada orang sedang memukulnya.

Menurut kenyataan polis, dia enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan meskipun diarahkan supaya bertenang dan meleraikan pergaduhan yang berlaku antaranya dengan seorang lelaki yang tidak dikenal pasti. Polis juga menyatakan, nafasnya berbau arak.

Aliff kini berhadapan dengan tiga tuduhan termasuk dua tuduhan mencuri yang dikenakan ke atasnya pada 3 September lalu.

Dia dituduh mencuri wang milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri serta satu lagi kes mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza Singapura.

Kes terbaru ini bermakna Aliff kini berdepan tiga tuduhan secara keseluruhannya termasuk dua tuduhan mencuri yang dikenakan ke atasnya pada 3 September.

Bagi kedua-dua pertuduhan kes curi itu, Aliff sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini (19 November). Namun ditangguhkan kerana ada tuduhan ketiga itu.

Sebutan seterusnya kes Aliff Aziz dijadual berlangsung pada 9 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:37 PM