SABHI turut meluahkan permintaan supaya LOL Entertainment menjaganya berdasarkan projek. FOTO Arkib NSTP
SABHI turut meluahkan permintaan supaya LOL Entertainment menjaganya berdasarkan projek. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PIHAK LOL Entertainment menafikan wujud persengketaan antara syarikat pengurusan artis itu dengan penyanyi dan juga pelakon, Sabhi Saddi yang sebelum ini bernaung di bawah syarikat itu.

Dakwaan itu timbul apabila Sabhi kembali aktif dengan menyertai kumpulan One Nation Emcees dan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6), namun berada di bawah pengurusan lain.

Pengarah Urusan LOL Entertainment, Afeeq Abdul Wahab sewaktu dihubungi berkata, walaupun tidak lagi bernaung di bawah syarikat pengurusannya tetapi hubungan baik antara pihaknya dan Sabhi tetap dijaga.

“Malah sewaktu Sabhi hendak kembali menyertai kumpulan One Nation Emcees dan bertanding dalam GV6, dia ada menghubungi saya dan meminta pandangan.

“Sabhi juga turut meluahkan permintaan supaya LOL Entertainment menjaganya berdasarkan projek, tetapi saya jelaskan kepadanya perkara itu tidak dapat dilakukan kerana pihak kami sendiri punya beberapa artis lain yang perlu diberikan tumpuan,” katanya.

Dalam waktu sama katanya, perkara itu juga agak kurang manis memandangkan One Nation Emcees ada pengurus sendiri jadi sebaiknya LOL Entertainment tidak campur tangan.

“Bagaimanapun andai dia datang dan meminta pandangan sebagai kawan, LOL Entertainment tidak keberatan untuk membantu,” katanya.

Seperti yang diketahui umum, Sabhi adalah anggota asal kumpulan One Nation Emcees yang masih kekal dan terus bersama kumpulan itu berbanding anggota lain.

Sebelum ini beberapa anggota kumpulan One Nation Emcees membawa haluan sendiri dan menghasilkan single secara solo. Bagaimanapun bagi menjayakan GV6 mereka kembali bergabung.

Selain Sabhi, One Nation Emcees turut dianggotai Mimi Fly, Jojo Fly dan Kozae

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:59 PM