DAYANG Nurfaizah mengakui antara tarikan untuk konsert itu nanti apabila dia tampil menyanyi lagu klasik yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini. FOTO Saddam Yusoff
DAYANG Nurfaizah mengakui antara tarikan untuk konsert itu nanti apabila dia tampil menyanyi lagu klasik yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini. FOTO Saddam Yusoff
Oleh Rudy Imran Shamsuddin


PENYANYI popular, Dayang Nurfaizah dan pereka fesyen terkenal negara, Datuk Rizalman Ibrahim mencipta sejarah dalam industri hiburan tempatan apabila tiket konsert yang dianjurkan di Istana Budaya pada 20 Februari 2020 depan habis dijual dalam masa 15 minit.

Konsert yang menampilkan lagu klasik nyanyian Dayang dan diberi tema Kesuma Jiwa itu juga pertama kali menggabungkan muzik dan fesyen.

Jualan tiket Konsert Kesuma Jiwa turut memadam rekod dicipta konsert Dayang Dua Dekad yang habis dijual dalam tempoh dua jam sebelum ini. Konsert Dayang Dua Dekad diadakan di lokasi sama pada 21 Julai lalu.

Dihubungi bagi berkongsi kejayaan awal diraih konsert Kesuma Jiwa itu kata Dayang, dia sendiri seperti tidak percaya tiket habis dijual dalam tempoh sangat singkat.

“Saya bukanlah faktor utama tiket habis dijual kerana umum sedia maklum akan kredibiliti Rizalman sebagai pereka fesyen tersohor negara dan turut mempunyai ramai peminat.

“Sebelum ini pun apabila setiap kali dia mengadakan pertunjukan fesyen tanpa ada elemen nyanyian, ramai yang mahu menghadirinya. Tapi ramai yang tidak berpeluang kerana ia atas jemputan khas.

“Berbeza dengan Konsert Kesuma Jiwa, apabila ditampilkan elemen muzik dan nyanyian. Tiket untuk menyaksikannya juga turut dijual, ia membolehkan mereka yang tidak berpeluang sebelum ini untuk hadir dan menyaksikannya,” katanya.

Dayang turut mengakui antara tarikan untuk konsert itu nanti apabila dia tampil menyanyi lagu klasik yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini.

“Konsert Kesuma Jiwa dianggarkan akan berlangsung dalam tempoh dua jam dan saya mendendangkan 10 lagu klasik yang dipilih Rizalman dan saya sendiri.

“Dalam waktu sama ia akan turut diserikan dengan pertunjukan fesyen rekaan terbaru daripada Rizalman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 7:06 PM