NAIM anggap peminat sebagai 'malaikat kecil' yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya. FOTO Instagram Naim Daniel
NAIM anggap peminat sebagai 'malaikat kecil' yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya. FOTO Instagram Naim Daniel
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan penyanyi, Naim Daniel, 22, menerusi akaun Instagramnya semalam meluahkan perasaannya mengenai lumrah hidup sebagai anak seni yang sentiasa menjadi bahan kecaman dan tidak dihargai sesetengah pihak.

Luahannya itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminatnya kerana tidak mahu dia berasa tertekan sehingga kemurungan.

"Saya anggap peminat ini sebagai 'malaikat kecil' yang sentiasa mendoakan kesejahteraan saya.

"Saya tak cakap mengalami kemurungan, namun, harapnya tulisan di Instagram ini dapat buka mata banyak pihak untuk bangkit dan faham situasi mereka yang mengalami kemurungan," katanya kepada Harian Metro.

Dalam muat naik yang dikongsikan di Instagramnya, penyanyi lagu Sumpah itu meluahkan bagaimana sesetengah pihak menganggap penghibur itu kalis makian dan menjadi tempat untuk melepaskan geram masyarakat.

"Nasib awaklah, penghibur. Orang beranggapan awak kalis makian, memang menjadi bahan ‘punching bag’ mulut masyarakat, sampaikan makan minum, bangun tidur awak pun sering terfikir apa orang akan kata.

"Nasib awaklah, penghibur. Tika awak leka menghibur, hati awak yang terkubur," tulisnya.

Naim yang sudah 15 tahun berkarya dalam industri menjelaskan, dia bukanlah orang yang suka menulis mengenai perasaan di media sosial.

"Saya adalah orang yang paling jarang nak tulis mengenai emosi dan sebagainya di media sosial kerana orang tak nak tahu pun mengenai emosi kita.

"Semalam, saya belek semula gambar lama dan tertarik untuk muat naik gambar saya menggayakan solekan ala karakter Joker di satu acara persembahan. Jadi, saya muat naik dan berkongsi mengenai realiti dan kadangkala, realiti itu menyakitkan.

"Dalam industri seni, semua orang cuma nak lihat produk terakhir yang dihasilkan seseorang pekerja seni, tapi tak ramai yang tahu realiti di belakang tabir," katanya.

Terbaru, Naim kini sedang menjalani penggambaran karya arahan Kabir Bhatia berjudul Kerana Dia Aku Menangis dan masih lagi mempromosikan single terbarunya, Adakah Engkau Menungguku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:49 PM