FARHAN Mustapha
FARHAN Mustapha
Syanty Octavia Amry

Berbakat dalam menghasilkan lagu, pendatang baru, Farhan Mustapha, 21, mahu lagu yang dihasilkannya dinyanyikan penyanyi lain.

Mengakui seorang yang pemalu, Farhan bersyukur bakatnya itu dikesan pengurusan Rocketfuel, malah dia turut tampil dengan single ciptaan sendiri berjudul Wayang.

“Syukur selepas lama mencari peluang, kini bakat saya dipandang pengurusan sekarang. Tidak saya nafikan sikap pemalu yang ada dalam diri antara penyebab saya lambat dikenali walaupun sudah lama terbabit dalam bidang seni,” katanya.

Mula aktif dengan menyertai program realiti Bintang RTM pada 2012, Farhan juga aktif menyertai pelbagai program realiti yang lain.

Melihat pembabitannya yang agak lama tetapi masih belum dikenali, Farhan tidak kecewa kerana baginya cepat atau lambat bukan persoalan.

Apa yang penting dia dapat berkongsi lagu dan karya yang diciptanya.

“Cita-cita saya untuk menjadi seorang penghibur. Saya tidak kisah lambat dikenali dan diberi peluang berada di bawah pengurusan sekarang sudah cukup besar penghargaannya buat saya,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Wayang, Farhan berkata, ia berkonsepkan balada.

“Memang sejak dulu saya sukakan lagu berkonsep seperti ini. Apabila lagu ciptaan saya ditampilkan sebagai single pertama, saya rasa sangat dihargai.

“Namun saya tidak kisah jika perlu mencuba lagu genre lain. Sebagai penyanyi apa salahnya saya mencuba sesuatu yang lain pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 2:04 AM