Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO IHSAN BOMBA.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO IHSAN BOMBA.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perak bagi menempatkan seramai 150 mangsa daripada 52 keluarga yang terkesan banjir susulan kejadian hujan lebat sejak petang semalam.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak melaporkan, setakat jam 8 pagi, Larut, Matang dan Selama (LMS) merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 78 orang daripada 30 keluarga berlindung di empat PPS.

Ia membabitkan 36 orang (12 keluarga) dari Kampung Sungai Baru berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok menempatkan 25 orang (12 keluarga) yang terjejas akibat banjir di Kampung Temerlok dan Kampung Nibong.

Sembilan mangsa (lima keluarga) dari Kampung Senduk Seberang dan Kampung Batu 8 dipindahkan ke PPS Masjid Al-Wusta Batu 8 dan PPS Dewan Orang Ramai Jebong Kiri pula menempatkan lapan mangsa (satu keluarga) dari Kampung Dato Sagor.

Selain itu, satu PPS dibuka di daerah Hilir Perak membabitkan PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak bagi menempatkan 42 mangsa (10 keluarga) dari Kampung Batu 9 Changkat Jong.

Di daerah Kuala Kangsar, PPS SK Periang dibuka bagi menempatkan 30 mangsa (12 keluarga) yang terkesan akibat banjir di Kampung Periang.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar masing-masing berada pada paras berjaga-jaga.n

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 10:04 AM