SARAH akan bernikah 3 November 2019.
SARAH akan bernikah 3 November 2019.
Ramlah Zainal


PELAKON dan pengacara terkenal Sarah Hildebrand, 29, bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka kacukan Filipina-Amerika Otto Gillen, 26, pada 3 November ini.

Majlis pernikahan Sarah dan Otto bakal berlangsung di masjid berhampiran kediaman keluarganya di Lembah Keramat.

Menurut pelakon yang mencipta nama menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, dia dan Otto yang juga pelukis sepakat untuk berkahwin selepas berkawan rapat selama lapan bulan.

“Sebenarnya, saya dan Otto kawan lama yang terpisah ketika sama-sama menuntut di sekolah tinggi di Amerika dulu.

“Saya bertemu semula dengannya ketika melawat bapa yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat awal tahun ini.

“Namun, kami kembali berkawan rapat sejak Februari lalu selepas hubungan saya dengan bekas kekasih berakhir,” katanya kepada Harian Metro. Ditanya kenapa dia merahsiakan hubungan dengan Otto sebelum ini, Sarah berkata, dia tidak mahu menjaja kisah cintanya kerana bimbang kisah pahit berulang.

“Banyak yang saya belajar selepas putus cinta sebelum ini.

“Justeru, selepas kami sepakat untuk berkahwin, saya pastikan perancangan untuk berkahwin berjalan lancar dulu barulah berkongsi berita baik ini dengan semua.

“Selain itu, banyak dokumen berkaitan urusan pernikahan yang perlu diuruskan kerana saya bakal berkahwin menggunakan wali hakim nanti,” katanya.

Terdahulu, Sarah pernah menjalin hubungan dengan pengacara Nabil Mahir tetapi hubungan itu berakhir awal tahun ini selepas lima tahun bercinta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 6:41 PM