NABIL menyukai sisi Ayda yang sangat fokus pada kerjaya seninya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
NABIL menyukai sisi Ayda yang sangat fokus pada kerjaya seninya. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal


PENGACARA dan pelakon, Nabil Mahir, 31, mengakui selesa berkawan rapat dengan penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Nabil, dia juga selesa berkawan rapat dengan Ayda, 27, kerana mereka memiliki perwatakan yang sama iaitu karakter gila-gila.

“Sebenarnya, kami sudah kenal lama sebagai rakan artis sebelum saya bercinta dengan pelakon Sarah Hildebrand lagi tetapi hubungan kami mula rapat sejak beberapa bulan lalu.

“Selain karakter gila-gila, saya juga menyukai sisi Ayda yang sangat fokus pada kerjaya seninya.

“Namun, buat masa ini, kami masih dalam fasa mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Nabil ditemui pada majlis sidang media Partnership antara Digital Content Connection (DCC) dan Ace Pictures yang berlangsung di sebuah hotel di Mines, Seri Kembangan, semalam.

Mengenai penerimaan keluarganya pula, kata Nabil, mereka tidak pernah menghalangnya untuk berkawan dengan mana-mana rakan artis.

“Keluarga tahu saya memang suka bersosial dan mempunyai ramai kawan termasuk rakan artis sejak dulu.

“Ayda juga sudah berjumpa dengan keluarga saya ketika majlis rumah terbuka kami sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia serik bercinta dengan rakan artis selepas putus cinta dengan pelakon Sarah Hildebrand, Nabil menafikannya.

“Saya tidak pernah serik atau trauma untuk bercinta dengan rakan artis atau mereka yang terbabit dalam bidang seni.

“Apa yang berlaku adalah sebahagian adat dalam mana-mana hubungan percintaan.

“Jika Ayda ditakdirkan menjadi jodoh saya, pastinya saya terima dengan ketentuan Tuhan itu,” katanya.

Mengulas ramai peminat di laman sosial yang mendoakan hubungannya dengan penyanyi lagu Temberang itu ke jenjang pelamin pula, Nabil meminta mereka hanya mendoakan perkara yang baik saja.

“Jika peminat mendoakan perkara yang baik, pastinya saya juga mendoakan perkara yang baik juga dalam hubungan kami,” katanya.

Terdahulu, gosip yang mendakwa Nabil dan Ayda bercinta mula diperkatakan ramai apabila kedua-duanya saling berbalas mesej di laman sosial.

Malah, pengacara terbabit pernah meninggalkan komen berbunyi ‘I Love You’ di laman Instagram Ayda, selain berpakaian sedondon pada sebuah acara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 3:11 PM