SARAH sudah memaafkan Nabil. FOTO  Eizairi Shamsudin.
SARAH sudah memaafkan Nabil. FOTO Eizairi Shamsudin.
Ramlah Zainal


“JEJAKA itu adalah kawan lama saya yang terpisah sejak di sekolah tinggi. Kami bertemu semula ketika saya melawat bapa yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat baru-baru ini,” kata pelakon dan pengacara Sarah Hildebrand, 28, yang menjawab dakwaan bekas kekasihnya, Nabil Mahir bahawa jejaka kacukan Amerika Syarikat -Filipina, Otto Gillen itu adalah kekasih barunya. Menurut Sarah, tidak salah untuknya kembali berkawan dengan Otto atau mana-mana lelaki kerana hubungannya dengan Nabil, 31, sudah pun berakhir dua minggu lalu.

“Selain menziarah bapa saya ambil peluang bercuti selama dua minggu untuk menenangkan fikiran selepas putus cinta.

“Terus-terang, saya belum bersedia mencari pengganti buat masa ini,” katanya kepada Harian Metro.

SARAH memuat naik gambar bersama Otto. FOTO Instagram
SARAH memuat naik gambar bersama Otto. FOTO Instagram

Menurut pelakon yang popular menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, dia reda dengan perpisahan itu kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya buat keputusan ini (berpisah) tetapi selepas berbincang dengan keluarga dan pengurusan, ini adalah yang terbaik.

“Apa yang saya boleh katakan, hubungan kami yang sudah mencecah lima tahun itu sudah tidak seperti dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Sarah turut menegaskan dia memaafkan Nabil atas apa yang berlaku di antara mereka.

“Saya juga tidak mahu ulas panjang kerana tidak mahu buka aib mana-mana pihak termasuk keluarganya.

“Saya juga mahu memulakan hidup baru dan fokus mengukuhkan karier seni,” katanya.

Terdahulu, Nabil dalam kenyataannya mengesahkan hubungannya dengan Sarah sudah berakhir dua minggu lalu. Malah, pengacara itu mendakwa terkejut Sarah sudah ada pengganti apabila bekas kekasihnya itu memuat naik foto bersama Otto di laman Instagram.

Sarah menerusi kapsyen di instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada Otto kerana menemaninya berjalan sekitar Arkansas pada awal Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 3:04 PM