FAZLEY bantu promosi peniaga gerai tepi jalan menerusi media sosial.
FAZLEY bantu promosi peniaga gerai tepi jalan menerusi media sosial.
Oleh Ardini Sophia Sina


WALAUPUN Datuk Fazley Yaakob kini dikenali sebagai cef selebriti profesional dan memiliki restoran sendiri, dia tidak pernah memandang rendah makanan yang dijual di gerai tepi jalan.

Baginya, tahap keenakan juadah itu bukanlah diukur berdasarkan lokasi, tetapi terletak pada kehandalan tukang masak dan bahan yang digunakan.

Menerusi Instagram, Fazley berkongsi video dia memuji makanan yang dijual di tepi jalan dan mempromosikan perniagaan berkenaan. Muat naik berkenaan mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif pengguna aplikasi itu.

Tidak cepat melatah, Fazley menjelaskan apa yang dilakukan itu adalah satu cara bagi membantu peniaga gerai berkenaan mempromosikan makanan dijual.

“Ayah saya pernah buka gerai jual mee dan kuetiau goreng. Keluarga sebelah ibu juga peniaga gerai kuih tradisi Melayu. Saya membesar dengan melihat mereka mengusahakan jualan makanan dalam skala kecil.

“Walaupun menang pertandingan Masterchef Selebriti Malaysia seterusnya memiliki restoran sendiri, mentaliti dan kemahuan saya masih untuk berikan kekuatan kepada peniaga gerai.

“Tidak kisahlah masak di gerai, restoran atau hotel, semuanya dalam kelompok yang sama. Sedap itu terletak kepada tukang masak. Apabila saya katakan makanan gerai sedap, saya bukanlah menidakkan keenakan makanan di restoran mahupun hotel. Namun, pujian itu patut diberikan kepada tukang masak,” katanya.

Kepakaran Fazley dalam bidang kulinari terbukti apabila dia turut membuat demonstrasi masakan di luar negara. Bagaimanapun, dia tetap berasakan masakan ibunya yang paling enak.

Begitu juga apabila ada tanggapan yang mengatakan dia lebih hebat dan cekap menyediakan juadah berbanding isterinya, Datin Azrene Soraya, dia sekali lagi mengatakan isterinya lebih pandai memasak.

Apabila ada yang mengkritik makanan yang disajikan kurang menyelerakan, Fazley tidak terguris hati. Katanya, deria rasa setiap individu itu berbeza dan ia tanda mereka ambil berat terhadap sajian dihidangkan.

“Kalau ada 10 orang kata sedap dan dua lagi cakap tidak sedap, tidak bermakna komen dua orang tadi itu salah. Mungkin tidak sedap pada lidah mereka kerana setiap cita rasa individu berbeza.

“Dalam dunia masakan memang begitu. Kritikan tanda orang peduli dengan perniagaan kita dan ada peluang untuk kita betulkan kekurangan menu yang disediakan,” katanya.

Sejak berkongsi video ulasan dan promosi gerai makanan di media sosial, setiap hari Fazley menerima mesej daripada pengusaha makanan di Instagram, sekali gus mengundangnya mencuba hidangan itu.

Malahan, dia juga tidak kisah andai ada peniaga yang menggunakan video serta gambarnya bagi tujuan melariskan jualan mereka. Katanya, itu adalah cara meraikan peniaga gerai.

“Kalau sedap, saya akan puji. Ada juga yang kurang sedap, saya komen dan ajar mereka cara untuk jadikan makanan itu lebih menyelerakan. Bagaimanapun, komen itu tidaklah saya rakam.

“Mungkin ada yang beranggapan resipi tidak boleh dikongsi sepenuhnya kerana ia senjata untuk perniagaan. Bagaimanapun, saya percaya dengan rezeki. Saya tidak kisah berkongsi ilmu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:00 AM