ZIZAN mahu mencari wanita yang baik untuk dijadikan calon isterinya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ZIZAN mahu mencari wanita yang baik untuk dijadikan calon isterinya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal


SELEPAS putus cinta dengan pelakon Emma Maembong, pelakon dan pelawak popular Zizan Razak, 35, berhasrat meminta ibunya pula bagi mencarikan jodoh yang sesuai untuknya.

Menurut pelakon filem Polis Evo 2 itu, dia juga tidak kisah sama ada calon isterinya itu dalam kalangan rakan artis, berhijab atau sebaliknya.

“Saya memang berhasrat untuk meminta ibu yang carikan jodoh bila sampai masanya nanti.

“Walaupun ibu yang carikan jodoh tetapi saya mahu berkenalan dulu dengan wanita itu sama ada sesuai atau tidak untuk dijadikan calon isteri,” katanya kepada Harian Metro.

Zizan yang turut dikaitkan dengan pelakon popular Mira Filzah juga mahu mencari wanita yang baik untuk dijadikan calon isterinya.

“Saya bukannya baik sangat tetapi pastinya mahu mencari wanita yang baik untuk dijadikan calon isteri.

“Jika ada jodoh, saya juga mahu berikan yang terbaik untuk bakal isteri nanti,” katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk bercinta dengan rakan artis, Zizan menafikannya.

“Saya sudah berusaha untuk bercinta dan merancang terus berkahwin tetapi tidak kesampaian dulu.

“Saya juga sudah bergelar solo selama empat tahun tanpa kekasih.

“Saya percaya setiap kejadian yang berlaku ini semuanya dengan izin Allah dan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, fokusnya untuk mengukuhkan kerjaya, bisnes dan keluarga.

“Cukuplah saya banyak membuang masa dalam hidup dulu. Saya tidak mahu salah pilih kawan yang boleh membuat kita menjadi hilang arah dan kemurungan.

“Kini, fokus saya mahu membahagiakan keluarga terutama ibu.

“Saya juga memilih untuk bersahabat dengan mereka yang membawa ke arah kebaikan dan nilai hidup positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 3:15 PM