Izreen mahu suami sentiasa di sisi. FOTO HM/ZUNNUTR AL SHAFIQ
Izreen mahu suami sentiasa di sisi. FOTO HM/ZUNNUTR AL SHAFIQ
Ramlah Zainal


PELAKON popular Izreen Azminda, 32, tidak menolak jika dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki berstatus suami orang selepas ini.

Izreen yang sudah lebih dua tahun bergelar ibu tunggal berkata, dia tidak mampu menolak jika itu adalah ketentuan Allah SWT dalam hidupnya nanti.

"Saya tidak mahu cakap lebih-lebih atau cakap besar hanya mahukan lelaki bujang atau duda sebagai calon suami.

"Secara jujur, saya juga tidak boleh menolak ketentuan Allah kerana dalam Islam lelaki dibenarkan berkahwin empat asalkan berkemampuan dan boleh berlaku adil.

"Apa yang penting, lelaki itu berkemampuan dan mampu menjaga serta menerima kehadiran anak saya dalam hidupnya," katanya.

Izreen berkata, memang ada lelaki yang ingin berkahwin dengannya tetapi tidak dapat menerima kehadiran anak lelakinya itu sebelum ini.

"Setakat ini, saya masih belum bertemu lelaki yang sesuai dan boleh menerima saya dan anak lagi.

"Justeru, buat masa ini, saya selesa dengan status sekarang dan hanya fokus pada karier dan anak," katanya.

Ditanya sama ada dia serik bercinta dengan rakan artis, Izreen mengakui dia memang mengelak untuk bercinta dengan lelaki yang sama-sama terbabit dalam bidang seni.

"Saya mencari calon suami yang bukan dalam bidang yang sama. Kalau boleh jika bertemu jodoh nanti, saya mahukan suami yang selalu di sisi," katanya.

Izreen pernah pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhamad Riza Baharudin pada 2012 dan rumah tangga mereka berakhir pada 2014.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 7:51 PM