MAHU dikenali sebagai Iedil Dzuhrie Alaudin dan diharap lebih beri sinar dalam karier seni. FOTO: Intan Elliana Zakaria
MAHU dikenali sebagai Iedil Dzuhrie Alaudin dan diharap lebih beri sinar dalam karier seni. FOTO: Intan Elliana Zakaria
Syanty Octavia Amry


JIKA sebelum ini dia lebih dikenali dengan nama Iedil Putra, kini pelakon yang popular dengan filem Interchange memilih menggunakan nama Iedil Dzuhrie Alaudin.

Iedil, 35, berkata, tiada sebab atau alasan tetapi merasakan sudah tiba masa dia mengangkat sama nama arwah bapanya, Alaudin.

“Tiada sebab saya sakit atau nama sebelum ini tidak sesuai dengan diri tetapi apabila sudah lama berada dalam industri seni, sampai masa menggunakan nama ayah saya.

“Arwah ayah meninggal dunia pada 2015, saya mahu membawa namanya supaya terus diingati,” katanya.

Iedil atau nama sebenarnya Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin berkata, dia kini bergiat mengembangkan karier seni di Malaysia dan Indonesia.

Harapannya nama Iedil Dzuhrie Alaudin lebih membawa sinar kepada karier seni dan kehidupannya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Iedil bakal tampil dengan filem Motif yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 26 September ini.

Filem arahan Nadiah Hamzah itu turut menampilkan Datuk Rosyam Nor, Taqim Zaki dan Sharifah Amani.

Walaupun Nadiah masih baharu dalam dunia pengarahan filem, Iedil tidak mempunyai sebarang masalah kerana mereka pernah bekerjasama dalam beberapa projek iklan.

“Nadiah sudah biasa mengarahkan iklan dan kami pernah bekerjasama. Jadi, saya sudah tahu cara kerjanya dan memahami kehendaknya.

“Walaupun dia wanita, tidak susah bekerja dengannya,” katanya.

Dalam pada itu, Iedil mengakui tidak ada masalah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta untuk memenuhi tuntutan lakonan.

“Saya bersyukur ada rezeki berlakon di sini dan Indonesia. Buat masa sekarang saya masih selesa dan tiada masalah untuk berulang-alik.

“Walaupun kerjaya seni sudah berkembang di Indonesia, saya belum terfikir untuk terus menetap di sana.

“Lagipun, isteri saya, Prisia Nasution yang juga pelakon tidak pernah memaksa saya,” katanya yang turut terbabit dalam filem Indonesia, My Stupid Boss 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:00 AM