ADIRA belum dapat bertemu anak ketiganya itu kerana masih berada dalam pemantauan doktor berikutan bayi itu ada masalah pernafasan. FOTO Amirudin Sahib
ADIRA belum dapat bertemu anak ketiganya itu kerana masih berada dalam pemantauan doktor berikutan bayi itu ada masalah pernafasan. FOTO Amirudin Sahib
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Adira selamat bersalin bayi perempuan dengan berat 3.5 kilogram di sebuah pusat perubatan di Sungai Buloh, kira-kira jam 2 petang hari ini.

Bagaimanapun, Adira, 28, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi belum dapat bertemu anak ketiganya itu kerana masih berada dalam pemantauan doktor berikutan bayi itu ada masalah pernafasan.

"Alhamdulillah, proses bersalin semuanya okey. Cuma, sekarang bayi belum ada bersama saya. Saya juga masih lemah disebabkan baru saja bersalin. Buat masa sekarang, suami ada menemani saya di sini.

"Apabila sudah anak tiga, bagi saya cabaran semakin bertambah. Mujur anak sulung sudah besar sikit iaitu dua tahun lima bulan. Cuma, yang kedua saja baru 11 bulan. Mesti dia mencari nanti.

"Tadi mereka ada bersama saya, tapi tak dapat juga berjumpa dengan adik mereka. Mujur rumah dengan hospital tak jauh, jadi boleh suami berulang-alik ambil dan bawa mereka ke sini," katanya kepada Harian Metro.

Adira yang popular menerusi lagu Pujaan Hati berkata, doktor menasihatinya supaya menjarakkan kehamilan kerana sudah tiga kali menjalani pembedahan.

"Doktor belum suruh ikat lagi, tapi saya dinasihati untuk tidak hamil dalam waktu terdekat. Kalau nak mengandung lagi pun, tunggu lima tahun.

"Itu tempoh yang sebaiknya bagi kes macam saya. Sebab, dua anak sebelum ini pun dilahirkan melalui proses pembedahan.

"Kalau boleh biarlah bahagian dalaman sihat sepenuhnya. Kalau masih ada rezeki, insya-Allah akan ada juga," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan nama anak, Adira dan suami, Datuk Seri Adanan Abu sepakat memilih nama Anggun.

"Suami memang nak semua nama anak bermula dengan huruf A dan pendek. Jadi, saya pilih nama Anggun. Tapi, suami pilih nama Ani. Katanya lebih mudah.

"Saya pilih Anggun sebab anak sulung kami diberi nama Anggrek dan anak kedua, Asan. Selepas berbincang, jadi kami sepakat dengan nama Anggun," katanya.

Adira mendirikan rumah tangga dengan suami di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:25 PM