ADIRA hanya tahu dirinya hamil ketika kandungan berusia lima bulan. Foto Amirudin Sahib
ADIRA hanya tahu dirinya hamil ketika kandungan berusia lima bulan. Foto Amirudin Sahib
Syanty Octavia Amry


TIDAK mengalami sebarang alahan pada kehamilan kali ini, penyanyi Adira Suhaimi mengakui mendapat tahu dirinya hamil ketika kandungan berusia lima bulan.

Adira berkata, selain tidak mengalami alahan keadaan perutnya juga kecil seperti biasa tidak menunjukkan tanda orang mengandung.

“Saya memang tidak tahu mengandung ketika itu, keadaan normal seperti biasa. Saya mendapat tahu ketika bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Apabila doktor memeriksa keadaan saya, dia memberitahu ada bayi di dalam perut dan turut terkejut,” katanya yang kini hamil tujuh bulan.

Adira berkata, disebabkan usia anak keduanya masih kecil dia berhasrat untuk berehat sementara membesarkan dua anaknya.

“Saya masih terkejut tetapi terima saja kerana ini adalah rezeki dan tidak menolak malah tidak kisah jika beranak ramai.

“Jika diikutkan saya mahu berehat dulu dan fokus membesarkan anak,” katanya.

Berkongsi mengenai jantina anak kali ini, Adira berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal jantina apa yang penting bayi berkenaan sihat dan selamat apabila lahir nanti.

“Saya sudah ada anak perempuan dan lelaki, jadi untuk kelahiran kali ini saya tidak kisah soal jantina yang penting sihat.

“Tetapi sehingga sekarang saya belum memeriksa jantina bayi dan biarlah ia menjadi kejutan buat keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 3:45 PM