ADIRA bersama suami, Datuk Red.
ADIRA bersama suami, Datuk Red.
BERAT Adira naik  14 kilogram selepas hamil.
BERAT Adira naik 14 kilogram selepas hamil.

Biarpun usia kandungannya bakal mencecah lima bulan pada 3 November ini, penyanyi Adira mengakui suaminya Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red sentiasa berlaku adil terhadap madunya.

Adira, 25, berkata, tidak ada alasan dia mendapat sebarang keistimewaan sebaliknya layanan diberikan sama rata.

“Saya sangat memahami situasi suami. Jadi, saya tak pernah menjadikan hamil sebagai satu kelebihan untuk mendapat lebih layanan atau keistimewaan lain.

“Suami bijak membahagikan masa sama seperti dahulu. Dalam erti kata lain antara saya dengan isteri pertama, tak ada yang lebih atau kurang. Pendek kata dia berlaku adil,” katanya.

Pada masa sama, Adira yang popular dengan lagu Ombak Rindu tidak sedikit pun berasa terganggu dengan perkara itu.

Cuma pada peringkat awal kehamilan, Adira lebih suka berada dalam keadaan yang tenang.

“Alhamdulillah, dari segi emosi saya okey tetapi tak suka berada dalam keadaan yang bising. Saya juga tak suka memegang telefon dan seboleh-bolehnya saya tak nak menjawab sebarang mesej atau panggilan yang masuk.

“Jadi, kalau ada mana-mana pihak yang mengeluh dengan sikap itu, saya mohon maaf. Saya bukannya sengaja, tapi itulah yang dinamakan pembawaan budak. Namun memasuki usia tiga bulan, saya okey dan kembali seperti sedia kala,” katanya.

Selain itu, Adira menjelaskan dia juga melalui proses alahan yang teruk pada bulan pertama dan kedua kehamilan.

Malah suaminya juga turut terkena tempias sama sehinggakan selera makannya bertambah.

“Kalau nak tahu, berat badan saya naik mendadak sehingga 14 kilogram. Kalau dahulu berat saya cuma 40 kilogram, sekarang sudah mencecah 54 kilogram.

“Apa tidaknya selera makan saya tak menentu. Boleh dikatakan sepanjang masa saya nak mengunyah saja. Kalau lewat malam sekali pun, saya tetap mengajak suami keluar makan.

“Memang perut saya tak besar, tetapi berat badan bertambah, malah ada yang tak percaya saya hamil,” katanya.

Masih menyanyi

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Adira berkata, dia masih aktif menyanyi dan memenuhi undangan di luar Kuala Lumpur.

“Saya masih menyanyi cuma mengehadkan persembahan. Kalau mendapat tawaran di sekitar Lembah Klang saya okey lagi. Namun, jika memerlukan saya berada di luar kawasan, itu perlu berbincang dengan suami.

“Bukan apa, suami sangat bimbang dengan keadaan saya terutama membabitkan perjalanan jauh sama ada menaiki pesawat atau kereta. Oleh itu dia meminta saya berfikir banyak kali, tapi dia tak menghalang untuk menyanyi,” katanya.

Menurut Adira, dia memutuskan untuk berehat daripada menyanyi pada Januari tahun depan kerana dijangka bersalin pada 22 Mac.

Menariknya tarikh itu sama dengan tarikh lahir suaminya.

Ditanya mengenai jantina kandungannya, Adira belum mendapat sebarang kepastian.

“Tempoh hari semasa melakukan pemeriksaan, doktor belum dapat mengesahkan jantina. Dalam perkara ini saya tak kisah pun sama ada anak lelaki atau perempuan. Asal saja bayi yang bakal lahir nanti sihat dan sempurna.

“Kalau ditanya suami pula, dia menginginkan anak lelaki. Apa-apa pun saya hanya berserah. Saya sentiasa berdoa semoga segalanya dipermudahkan sehingga proses bersalin nanti,” katanya.

Adira memaklumkan dia memilih untuk bersalin dan menjalani tempoh berpantang di Kuala Lumpur. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:51 AM