NEELOFA agak sibuk dengan penjenamaan semula bisnes hijab dan beberapa hal berkaitan perniagaan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
NEELOFA agak sibuk dengan penjenamaan semula bisnes hijab dan beberapa hal berkaitan perniagaan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


“SAYA bukan menarik diri sepenuhnya, tetapi mungkin berehat untuk tahun ini dan tahun depan,” kata pengacara Neelofa yang mengesahkan menarik diri daripada dicalonkan dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, dalam kenyataan berkata, penarikan terbabit dibuat bagi memberi perhatian terhadap perniagaan yang sedang diusahakannya.

“Buat masa ini, saya agak sibuk dengan penjenamaan semula bisnes hijab dan beberapa hal berkaitan perniagaan. Justeru, agak sukar untuk menyeimbangkan karier seni dan bisnes.

“Insya-Allah, jika sudah tidak lagi sibuk dengan bisnes, saya akan kembali aktif dalam seni. Jika sudah kembali aktif, baru rasa berbaloi untuk terbabit dalam majlis anugerah,” katanya.

Menurutnya, biarpun tidak bertanding pada penganjuran kali ini, dia tetap akan memberikan sepenuh sokongan.

“Mana mungkin saya melupakan segala kenangan indah yang tercipta sepanjang bersama ABPBH.

“Saya doakan supaya ABPBH terus maju dan megah berdiri dalam penganjuran edisi seterusnya.

“Saya pasti, acara berprestij ini akan disambut dengan penuh gemilang dan warna-warni,” katanya.

Neelofa pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH ke-29 yang berlangsung penuh gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 2016.

Pada ABPBH ke-31, Neelofa mempertahankan trofi Pengacara TV Popular buat kali kelima. Pengacara Meletop itu juga memenangi kategori online, Artis Sensasi Popular.

Sepanjang menyertai ABPBH, Neelofa menjulang lapan trofi, termasuk lima menerusi kategori Pengacara TV Popular dan tiga kategori online.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 2:40 PM