Najiy Jefri


PENYANYI Wany Hasrita dipilih sebagai Bintang Paling Popular pada acara berprestij Anugerah Bintang Popular BH 31 (ABPBH 31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam ini.

Kejayaan berganda diciptanya apabila Wany Hasrita turut meraih trofi Penyanyi Wanita Popular.

Kemenangan itu membolehkan Wany Hasrita membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Citroen C4 Picasso L2 bernilai kira-kira RM125,000 serta trofi.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pula diberikan kepada Noorkumalasari bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau dalam bidang seni selama lebih tiga dekad.

ABPBH 31 turut melakar kejayaan indah buat penyanyi Khai Bahar yang popular dengan lagu Bayang apabila merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular.

Bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular dimenangi hero drama Mr Grey, Fendy Bakry, sementara Farah Nabilah pula diumum Artis Baru Wanita Popular.

Untuk kategori pelakon, bintang utama filem J Revolusi, Zul Ariffin menepati ramalan apabila diumum Pelakon Filem Lelaki Popular.

Sementara, aktres Emma Maembong menguasai senarai Pelakon Filem Wanita Popular.

Lebih menarik, pasangan suami isteri Fattah Amin dan Nur Fazura dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular.

Untuk kategori Artis Komedi Popular, Zizan Razak sekali lagi memenangi kategori itu, manakala Penyampai Radio Popular dimenangi Haziq dari Hot FM.

Kategori Artis Versatil Popular tahun ini diungguli penyanyi Alif Satar, manakala Neelofa memenangi Pengacara TV Popular

Bagi kategori Artis Duo/Berkumpulan, Syamel & Ernie Zakri diumum sebagai pemenang.

Majlis gilang gemilang itu diacarakan oleh Janna Nick, Ajak dan Zara Zya.

Antara nama besar yang menyemarakkan pentas dalam segmen persembahan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jeffrydin, Ramlah Ram, Amy Mastura, Misha Omar, Siti Sarah, Aizat Amdan, Hafiz Suip, Ernie Zakri dan Mimi Fly.

Sementara itu, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Fauziah Latiff, Datuk Hans Isaac, Fattah Amin, Nur Fazura, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Abam, Mark Adam selain nama yang sedang hangat antaranya Syafiq Kyle, Zahirah Macwilson, Hael Husaini dan Nabila Razali muncul sebagai penyampai trofi.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Kool FM.

Mencatat sejarah, pencalonan 13 kategori utama dan lima kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 merekodkan jumlah undian lebih 24 juta dalam tempoh sebulan mulai 25 Ogos lalu.

Statistik diperoleh daripada Media Prima Digital (MPD) iaitu pengendali laman web rasmi ABPBH, www.abpbh.com.my menunjukkan sebanyak 24,271,342 undi diterima mulai 25 Ogos hingga 25 September lalu.

Selain itu, laman web berkenaan mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 7.2 juta setakat ini.

Senarai penuh pemenang ABPBH 31

1) BINTANG PALING POPULAR: WANY HASRITA

2) PENYANYI LELAKI POPULAR: KHAI BAHAR

3) PENYANYI WANITA POPULAR: WANY HASRITA

4) ARTIS DUO/ BERKUMPULAN POPULAR: SYAMEL & ERNIE ZAKRI

5) ARTIS BARU LELAKI POPULAR: FENDY BAKRY

6) ARTIS BARU WANITA POPULAR: FARAH NABILAH

7) PELAKON FILEM LELAKI POPULAR: ZUL ARIFFIN

8) PELAKON FILEM WANITA POPULAR: EMMA MAEMBONG

9) PELAKON TV LELAKI POPULAR: FATTAH AMIN

10) PELAKON TV WANITA POPULAR: NUR FAZURA

11) ARTIS KOMEDI POPULAR: ZIZAN RAZAK

12) PENGACARA TV POPULAR: NEELOFA

13) PENYAMPAI RADIO POPULAR: HAZIQ (HOT FM)

14)ARTIS VERSATIL POPULAR: ALIF SATAR

15. ARTIS SENSASI POPULAR: NEELOFA

16. PASANGAN SERASI DRAMA: FATTAH AMIN & NUR FAZURA

17. PASANGAN SERASI FILEM: ZUL ARIFFIN & NUR FAZURA

18. INSTAFAMOUS CILIK POPULAR: ARIF JIWA

19. PERSONALITI MEDIA SOSIAL POPULAR: FATIMAH OMAR MUKHLIS

20. ANUGERAH KHAS SEPANJANG HAYAT: NOORKUMALASARI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 11:58 PM
PENERIMA Anugerah Bintang Paling Popular, Wany Hasrita pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
PENERIMA Anugerah Bintang Paling Popular, Wany Hasrita pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN