UMIE Aida terpaksa pujuk diri bersabar tumpukan lakonan bawah pancaran terik matahari.
UMIE Aida terpaksa pujuk diri bersabar tumpukan lakonan bawah pancaran terik matahari.
Rudy Imran Shamsudin


Berdepan cuaca panas melampau menjadi cabaran paling besar buat dua pelakon berpengalaman, Datin Seri Umie Aida dan Norish Karman sewaktu menjalani penggambaran musim kedua drama bersiri komedi Mak Cun di Sungai Petani, Kedah.

Selama hampir sebulan di sana membuatkan Umie hampir pengsan. Kini penggambaran disambung di Kuala Lumpur. Ketika ditemui di lokasi penggambaran di Istana Budaya baru-baru ini,

Umie berkongsi cerita mengenai cabaran dialaminya sepanjang menjalani penggambaran.

Umie akui cabaran dirinya berganda berbanding yang lain kerana kostum yang harus digayakan setiap hari. Watak dilakonkan sebagai Zeenat Manisah memerlukan dia memakai baju ala gamis yang kainnya berlapis-lapis.

“Bayangkan, saya perlu beraksi di tengah-tengah panas mencecah 40 darjah Celsius dengan baju yang kainnya tebal dan berkilat. Ia benar-benar menguji kesabaran.

“Kipas adalah teman saya paling akrab sepanjang sebulan bekerja di Sungai Petani. Apabila bekerja di bawah matahari tegak atas kepala dan udara yang berkuap panas, saya hampir pitam.

“Kalau diingat-ingatkan kembali, hendak gelak sendiri pun ada. Setiap kali pengarah sebut ‘cut’ saya akan berlari mendapatkan kipas,” katanya.

Drama 20 episod terbitan kakaknya, Erma Fatima itu menemui penonton bermula 29 April ini menerusi slot Zehra, TV3.

Kata Umie atau Umi Khalsum Rahmad Ali, dalam keadaan panas dan berlengas itu, dia harus juga pastikan momentum lakonan tetap selari.

“Kalau orang lain terpaksa berhadapan dengan situasi yang saya lalui, pasti semangat untuk bekerja menurun kerana tidak dapat tumpukan perhatian,” katanya.

Umie akui situasi kurang selesa ketika bekerja itu pasti mempengaruhi sikap dan mudah membuatkan semua orang terbabit hilang sabar dan melenting.

“Setiap hari apabila berada di lokasi, saya akan memujuk diri dan senantiasa memikirkan mengenai watak yang dijayakan. Bimbang kalau saya tidak berbuat demikian, keadaan kurang menyenangkan itu akan mempengaruhi lakonan dan dapat dikesan penonton apabila Mak Cun ditayangkan nanti.

“Ia juga membuatkan penghayatan mereka yang menyaksikan drama itu nanti terganggu. Kalau boleh, saya tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.

Untuk watak Zeenat Manisah kali ini, Erma mahukan karakter itu semakin giat memusuhi Mak Cun dan berasa tidak puas hatinya semakin menebal. Pelbagai perkara dilakukan untuk memusnahkan perniagaan yang diusahakan usahawanita desa itu.

Kata Umie, kali ini usaha itu turut disertai saudaranya, Combi yang dilakonkan Norish Karman. Banyak kejadian yang menimbulkan perasaan geram dan lucu berlaku.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Norish, kata Umie, walaupun kali pertama tetapi dia berasa seronok. Tambah pula aktres kelahiran Singapura itu juga pelakon yang bagus dan berbakat besar.

“Kami memang sekepala, jadi keserasian itu timbul secara semula jadi. Gabungan kami menjadikan usaha untuk mengenakan Mak Cun semakin canggih dan pelbagai,” katanya.

Norish mahu lakon karya komedi lagi

Musim baru Mak Cun masih kekalkan pelakon sama, Erma sebagai Mak Cun, Balkisyh Semundur Khan (Saidatul), Datuk Rahim Razali (Pak Akob), Nora Danish (Halimaton), Betty Rahmad (Maya) dan Azwan Kombos (Kamarul).

Ada beberapa watak baru diperkenalkan. Selain Combi dilakonkan Norish Karman, turut membuat penampilan termasuklah Dafi dan Izzue Islam.

Watak Combi pada awalnya dikhabarkan akan dilakonkan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) tetapi apabila penggambaran dimulakan, ia digalas Norish memandangkan Ogy terikat dengan beberapa jadual kerja lain.

Bagi Norish, dia berasa bertuah apabila diberi peluang oleh Erma Fatima untuk menjayakan watak Combi dan menganggap ia rezekinya.

Katanya, dia tidak berasa tertekan hanya kerana watak dilakonkan itu sepatutnya diberikan kepada Ogy.

“Sebagai pelakon, saya mempunyai cara dan interpretasi sendiri dalam menjayakan watak ini.

“Tidak dinafikan Ogy aktres hebat tetapi sebagai pelakon, saya tidak perlu meniru cara lakonannya. Seorang pelakon harus menjayakan watak diberikan kepadanya sebaik mungkin. Paling penting, ia mampu menghiburkan penonton,” katanya.

Norish akui sudah lama menanti peluang membintangi drama yang disifatkan bagus dari sudut penceritaan dan perkembangan watak.

“Selepas drama Love You Mr. Arrogant, saya sering ditawarkan watak biasa dan pernah dilakonkan. Sebagai pelakon, saya mencari kelainan dan perkara itu saya peroleh apabila menjayakan Mak Cun.

“Saya benar-benar terhutang budi kepada Erma kerana memberi peluang ini. Tambah pula saya jarang dapat beraksi dalam karya bergenre komedi.

“Menjayakan Mak Cun bermakna peminat boleh melihat kemampuan lakonan saya pada sudut berbeza,” katanya.

Mengenai gandingannya dengan Umie, Norish seronok digandingkan dengan pelakon yang diakui memiliki bakat besar itu.

“Kami boleh bekerjasama dengan baik. Setiap kali turun ke lokasi, saya dan Umie sangat serasi. Memang kalau hendak diikutkan, bekerja dalam situasi cuaca sangat panas tetapi kerana masing-masing begitu profesional, segala kerja dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Kerja susah menjadi mudah.

“Malah saya juga menyatakan hasrat selepas ini mahu bekerja lagi dengan Umie dan mengharapkan Erma dapat menghasilkan satu skrip yang baik dan dapat menggandingkan lagi kami berdua dalam satu drama lain,” katanya.

Penggambaran Mak Cun di Istana Budaya membabitkan babak Zeenat Manisah mahu mengahwinkan anaknya dengan tema Bollywood dan ia diadakan secara besar-besaran.

Semua pelakon yang menjayakan drama bersiri itu sama terbabit. Penggambaran dilakukan ala filem Hindustan apabila ia turut disertakan dengan nyanyian dan tarian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:27 AM