SEAN Lje dan Shuk Sahar masih kekal pengacara program ICSYVMY.
SEAN Lje dan Shuk Sahar masih kekal pengacara program ICSYVMY.
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM hiburan nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang diadaptasikan daripada program popular Korea Selatan kembali untuk musim yang keempat.

I Can See Your Voice Malaysia Musim 4 (ICSYVMY4) membuka tirai dengan edisi raya yang bersiaran pada 16 Mei lalu di TV3.

Penyertaan kedua kumpulan Floor 88 sebagai artis jemputan pada episod itu menyaksikan kemenangan berpihak kepada mereka apabila penyanyi misteri, Ezzu Fauzi (Ekhmal Ezzuan

Mohd Fauzi) pilihan Ayie Floor 88 adalah penyanyi sebenar.

Ezzu Fauzi yang juga pelajar jurusan kejuruteraan awam ini turut memenangi peluang merakam sebuah single dengan artis tanah air.

ICSYVMY4 menampilkan Digi Prepaid sebagai penaja utama dan Lazada Malaysia sebagai penaja bersama bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9 malam hingga 10.30 malam di TV3 untuk 11 episod seterusnya.

Musim terbaharu ini mengekalkan Sean Lje dan Shuk Sahar sebagai hos program serta mengalu-alukan penyertaan dua selebriti popular iaitu Alif Satar dan Fad Bocey sebagai ahli penyiasat tetap di samping Jihan Muse.

ALIF dan Fad dipilih sebagai penyiasat tetap yang baharu di samping Jihan.
ALIF dan Fad dipilih sebagai penyiasat tetap yang baharu di samping Jihan.

KUMPULAN Floor 88 pada ICSYVMY 4 edisi raya.
KUMPULAN Floor 88 pada ICSYVMY 4 edisi raya.

Penyanyi popular tanah air yang menyahut cabaran untuk mengenal pasti penyanyi sebenar ialah Hafiz Suip, Fauziah Latiff, YonnyBoii, Aina Abdul, Ruffedge, Amy Search, Amir Masdi dan ramai lagi.

ICSYVMY Musim 3 yang bersiaran untuk 21 episod pernah mencecah 5.5 juta penonton, mencatatkan kadar tontonan TV secara purata pada 3.1 juta penonton serta mengumpul 55 juta tontonan digital pada keseluruhannya.

Apakah magis dan kejutan yang bakal ditonjolkan dalam musim terbaharu ini?

Pada setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan suasana di studio ICSYVMY.

Tugas penyiasat adalah untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa ialah penyamar bersuara sumbang.

Setiap episod, enam penyanyi misteri akan diperkenalkan. Artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang dikenal pasti sebagai penyamar bersuara sumbang di setiap pusingan.

Jika penyanyi misteri yang berjaya mara ke pusingan akhir itu ialah penyanyi sebenar, beliau berpeluang untuk merakam sebuah lagu single dengan artis popular tanah air manakala penyamar suara sumbang pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Sesi rakaman ICSYVMY4 dijalankan pada April lalu dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Malah, sesi uji bakat juga diadakan sepenuhnya secara dalam talian pada Disember tahun lalu.

Walaupun begitu, sambutan uji bakat tetap meriah apabila pihak produksi sudah menerima lebih daripada 4,000 penyertaan pada minggu pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:50 AM