KIEN WEN terkejut apabila ada peserta yang sanggup datang seawal jam 5 pagi untuk menyertai uji bakat. FOTO Azhar Ramli
KIEN WEN terkejut apabila ada peserta yang sanggup datang seawal jam 5 pagi untuk menyertai uji bakat. FOTO Azhar Ramli
Ardini Sophia Sina


PENERBIT I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY), Chong Kien Wen mengakui terkejut namun gembira dengan sambutan penyertaan uji bakat musim ketiga program berkenaan.

Kien Wen ketika ditemui berkata, kira-kira 3,000 orang hadir untuk menjalani uji bakat yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

"Pihak kami tidak sangka mendapat sambutan luar biasa seperti ini. Saya sendiri terkejut apabila ada peserta yang sanggup datang seawal jam 5 pagi untuk menyertai uji bakat.

"Uji bakat ini kami buat dua hari iaitu Sabtu dan Ahad (hari ini). Ada peserta semalam yang tidak sempat menjalani uji bakat sanggup datang sekali lagi pada hari ini," katanya.

Kehadiran peserta yang membanjiri kawasan Sri Pentas menyebabkan pihak ICSYVMY terpaksa membuat dua saringan untuk uji bakat musim ketiga bagi mempercepatkan proses pemilihan.

"Dua musim sebelum ini, kami buat 'scouting' untuk cari peserta. Tetapi, kali ini kami hanya uar-uarkan menerusi media sosial.

"Mungkin, mereka tertarik untuk datang sebab musim kedua penyanyi sebenar yang berjaya duet dengan penyanyi jemputan dapat hasilkan single sendiri," katanya.

ANTARA peserta yang hadir uji bakat I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga. FOTO Azhar Ramli
ANTARA peserta yang hadir uji bakat I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga. FOTO Azhar Ramli

Uji bakat yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad dijalankan bagi mencari peserta penyanyi sebenar dan penyamar.

Pada 19 dan 20 Oktober ini, uji bakat khusus buat mencari penyamar bakal diadakan di lokasi sama.

Program ICSYVMY adalah adaptasi 'game show' dari Korea Selatan dengan judul yang sama. ICSYVMY musim pertama ditayangkan pada November 2018 dan terus mendapat tempat di hati penonton.

ICSYVMY musim pertama diacarakan oleh Alvin Chong dan Shuk Sahar manakala musim kedua tempat Alvin digantikan oleh Sean LJE.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:59 PM