I Can See Your Voice Malaysia musim kedua kembali lagi.
I Can See Your Voice Malaysia musim kedua kembali lagi.
Najiy Jefri


PROGRAM realiti hiburan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) kembali untuk musim kedua bermula 23 Jun ini pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM itu bakal menampilkan penyanyi misteri bersama barisan artis jemputan tanah air sepanjang 13 minggu bersiaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, program itu menjadi bualan dan trending di platform digital menerusi YouTube.

“Kami mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada penonton setia apabila program ICSYVMY musim pertama menjadi bualan dan trending di platform digital menerusi YouTube.

“Sokongan penonton membuatkan TV3 meneruskan ICSYVMY untuk musim kedua dengan pembaharuan yang lebih segar bersesuaian dengan permintaan penonton hari ini,” katanya.

Menurutnya, ICSYVMY 2 bakal memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian untuk menonjolkan bakat terpendam.

“Program sebegini dilihat memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian tetapi tidak mempunyai pengalaman merealisasikan impian mereka menyanyi dalam program sebegini.

“Walaupun tidak berbakat dalam nyanyian, ia bukan penghalang kerana apa yang penting adalah keyakinan dan kemampuan diri.

“Menarik dan uniknya program ini kerana kreativiti setiap peserta yang perlu bijak untuk memperdayakan penonton dengan lakonan mereka ketika menyampaikan lagu terpilih bagi memastikan terus kekal di atas pentas ICSYVMY2,” katanya.

PENGURUS Besar, Pengurusan Jenama, Integrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Zurina Othman (tiga dari kanan) bersama Penerbit Eksekutif ‘I Can See Your Voice 2’, Mas Ayu Ali (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan artis. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGURUS Besar, Pengurusan Jenama, Integrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Zurina Othman (tiga dari kanan) bersama Penerbit Eksekutif ‘I Can See Your Voice 2’, Mas Ayu Ali (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan artis. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

ICSYVMY 2 akan dihoskan dua pengacara yang sememangnya lucu dan bakal membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE.

Ditanya mengenai pengalaman pertama mengacarakan program ICSYVMY2 bersama pengacara Shuk Sahar, Sean mengakui cemas namun semuanya berjaya diatasi dengan baik.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengacarakan program sebegini. Saya tidak pernah mengendalikan program yang ada tetamu serta artis undangan.

“Agak gementar pada mulanya tetapi berkat sokongan pihak produksi serta rakan artis yang terbabit saya dapat menyesuaikan diri dan berjaya mengatasinya,” katanya.

Meskipun tawaran yang hadir satu rezeki buatnya, Sean tidak terlepas dikritik pihak yang mendakwa dia merampas posisi yang sebelum ini digalas Alvin Chong.

Sean menjelaskan, tawaran itu dibuat kerana produksi mahukan kelainan.

“Saya tidak ‘sailang’ sesiapa. Tawaran ini datang secara baik dan saya menerima tugasan ini sebagai satu cabaran baru.

“Saya percaya masing-masing ada kekuatan tersendiri dan mungkin pihak produksi ingin menampilkan sesuatu yang baru pada musim ini,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk dia memberitahu Alvin mengenai tawaran terbabit memandangkan masing-masing faham dengan rezeki yang diterima.

“Hubungan saya dan Alvin baik. Kami berkawan dan tiada apa-apa masalah. Ketika menerima tawaran ini saya tidak maklumkan kepadanya kerana percaya dia pun faham perkara ini.

“Kami saling menghormati dan tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya terima rezeki yang datang,” katanya.

Dalam pada itu, tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ ICSYVMY 2 pula masih digalas Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul .

Selain tiga penyiasat tetap ini mereka turut ditemani dua lagi penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:00 AM