NASH berduet dengan Faiz.
NASH berduet dengan Faiz.
Ridzuan Abdul Rahman


LEGENDA rock tanah air, Datuk Nash tampil sebagai tetamu istimewa bagi menutup tirai program I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3) disiarkan TV3 pada 23 Ogos lalu.

Seperti biasa, suasana menjadi meriah dan lucu dengan gandingan pasangan selebriti, Siti Sarah dan Shuib sebagai panel penyiasat jemputan bersama, panel penyiasat tetap iaitu Yusry Abdul Halim, Mark Adam dan Jihan Muse.

Sepanjang dua musim disiarkan, penonton pun sudah jelas peranan 'panel penyiasat' untuk mengenal pasti siapa penyanyi sebenar dan penyamar bersuara sumbang.

Bagaimanapun, dengan pengalamannya Nash berjaya membuktikan kehebatan meneka penyanyi sebenar, termasuk menerima nasihat Shuib dan menyingkirkan penyanyi misteri kedua.

Seorang penyanyi disingkirkan Nash pada pusingan pertama ialah pemain seruling dikenali sebagai Arif Ismail Shamsuri iaitu penyamar bersuara sumbang.

Di pusingan 'lip sync', Nash membuat keputusan menyingkirkan penyanyi misteri ketiga dan keempat.

Di pentas penentuan, penyanyi misteri keempat, seorang pendaki gunung iaitu Muhammad Syafiq Mohamad menonjolkan bakatnya.

Akhirnya, Nash memilih untuk berduet dengan pereka set dikenali sebagai Faiz Hazni. Ternyata, pilihannya tepat kerana Faiz ialah penyanyi sebenar yang mempunyai vokal mantap.

Justeru, dengan kemenangan itu Faiz akan bersaing dengan empat lagi pemenang ICSYVMY3 bahagian 2 untuk merebut peluang menjadi artis naungan Monkey Bone dan merakam sebuah lagu.

Dalam program ICSYVMY3 bahagian 2, sebanyak 10 episod berlangsung.

Malah, pencarian pemenang utama akan ditentukan oleh barisan juri profesional mewakili 60 peratus markah dan undian atas talian oleh orang ramai (40 peratus).

Barisan juri profesional pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, Yusry Abdul Halim, Shazee Ishak dan Mas Ayu Ali selaku penerbit eksekutif I Can See Your Voice Malaysia.

Justeru, klip video persembahan semua penyanyi sebenar terpilih itu sudah dimuat naik di www.xtra.com.my/icsyvmy untuk undian orang ramai bermula dari 23 Ogos lalu sehingga 6 September ini.

Keputusan pemenang pula diumumkan pada 7 September (Isnin), menerusi laman sosial Facebook serta Instagram @TV3Malaysia dan Instagram @SenangTerhibur .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:35 AM