Fezrul Khan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Fezrul Khan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


"KALAU ada pengganti, sekurang-kurangnya boleh jaga makan, minum, pakai dan sakit saya. Tapi, sampai sekarang belum berjumpa yang sesuai," kata pelakon Fezrul Khan yang masih mencari wanita sesuai untuk dijadikan isteri selepas bercerai empat tahun lalu.

Fezrul, 37, atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi Khan berkata, kriteria wanita yang dicari mestilah memahami kerjaya dan boleh menjaga anak lelakinya, Farrel Khan, 6.

Bagaimanapun, Fezrul yang juga pelakon drama Empat Penjuru tidak mahu terlalu mencari kerana percaya jodoh dan ketentuan daripada Allah SWT.

“Sebelum ini, ada juga mencari pengganti tapi tak berjumpa yang betul-betul sesuai dan serasi. Jadi, apabila sudah masuk tahun keempat masih hidup solo, orang cakap tak perlu lagi cari biar ia datang sendiri.

“Buat masa sekarang memang masih solo dan tak ada berkenalan dengan sesiapa pun. Diakui ada juga peminat wanita yang mesej peribadi (DM) di Instagram dan ajak kahwin, tapi saya tak layan.

“Kalau boleh, saya nak mencari pasangan yang senang faham kerjaya dan boleh jaga anak saya. Lagipun anak sekarang sudah enam tahun. Saya perlu memberi fokus kepadanya," katanya.

Dalam masa sama, Fezrul mengakui ada ketika dirinya berasa sunyi, namun masa bersama anak selama tiga hari seminggu memadai untuknya.

“Setakat ini, anak tak pernah tanya lagi soal mak baru. Dia seronok dengan saya dan kami seperti kawan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fezrul berkongsi tahun ini giliran anaknya menyambut Aidilfitri bersamanya.

“Tahun ini anak akan beraya dengan saya dulu, kemudian baru bersama bekas isteri. Saya akan beraya di Kuala Lumpur saja kerana keluarga memang berasal dari sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 8:30 AM