FEZRUL
FEZRUL
Najiy Jefri

Selepas rumah tangga yang dibina selama tiga tahun berakhir Ogos tahun lalu, pelakon Fezrul Khan, 34, mengakui hatinya belum terbuka untuk mencari pengganti dalam hidupnya.

Menurut Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi, kesibukan berlakon membuatkan dia tiada masa untuk memikirkan soal percintaan.

“Bohonglah kalau saya katakan tiada wanita yang mahu berkenalan dengan saya. Cuma, saya lebih selesa berkawan saja dan belum bersedia bercinta semula. Lagipun agak terlalu awal kalau saya mahu mencari pengganti.

“Sekiranya saya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan seseorang, saya perlu ambil masa untuk mengenalinya kerana mahu wanita itu memahami cara kerja saya sebagai pelakon terlebih dulu,” katanya.

Ujar Fezrul, selepas bercerai kehidupan hariannya tetap berjalan lancar biarpun tanpa kehadiran isteri dan anak di sisi.

“Alhamdulillah kehidupan saya berjalan seperti biasa. Saya masih mencari rezeki dalam bidang seni kerana anak semakin membesar dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya sangat bersyukur kerana hubungan saya bersama bekas isteri masih baik. Saya tiada masalah untuk melihat anak yang berada dalam jagaannya pada bila-bila masa.

“Biarpun sedih kerana kami terpaksa berjauhan tetapi ini bukanlah pengakhiran hidup. Saya masih boleh berjumpa dan membawa Farell Khan (anak) tinggal dengan saya untuk beberapa hari,” katanya.

Beralih kepada kerjaya lakonan, pelakon filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? itu sedang mengikuti kelas latihan lakonan bagi mempertingkatkan mutu kerjanya.

“Selain sibuk di set penggambaran saya juga mengikuti kelas lakonan bagi mengasah kemampuan berlakon dan mempelajari kemahiran baru. Apabila seseorang pelakon itu jarang membuat latihan, momentum lakonannya pasti akan berkurang dan gagal mempamerkan aksi yang menarik,” katanya.

Fezrul juga akan muncul menerusi drama bersiri Mr Secret Admire bermula 17 Jun ini di saluran HyppTV .

Selain itu, Fezrul juga akan sibuk menjalani penggambaran telefilen berjudul Last Kopek, Cahaya Di Hujung Terowong dan Hayat arahan Bada Azmi selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 9:19 AM