BAWA watak juruterbang Mejar Zahid dalam filem Air Force: Selagi Bernyawa.
BAWA watak juruterbang Mejar Zahid dalam filem Air Force: Selagi Bernyawa.
Irwan Shafrizan Ismail


TANPA mengira ada rupa atau tidak, perkara paling penting bagi pelakon baharu adalah belajar asas lakonan sebaiknya sebelum menjalani penggambaran drama atau filem.

Bagi pelakon berpengalaman menjayakan watak antagonis, Fezrul Khan, 40, bakat adalah satu bonus kerana setiap lakonan itu perlu mempunyai 'jiwa' supaya penghayatan dalam babak dilakonkan meninggalkan kesan kepada penonton.

Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi berkata, pelakon baharu yang bijak adalah mereka yang melengkapi diri dengan memasuki kelas lakonan yang sekali gus memudahkan tugas rakan sekerja lain dalam penggambaran yang dijalankan.

"Bila pelakon yang tidak cukup ilmu, tidak pergi kelas lakonan kadang-kadang mengganggu penggambaran kerana dia tidak dapat mewujudkan 'chemistry' bersama pelakon lain.

"Setiap drama atau filem akan mendapat nilai tambah apabila terajunya adalah pelakon yang mempunyai asas lakonan yang baik dan bukan diambil hanya semata-mata melihat kepada paras rupa saja," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Fezrul yang baru-baru ini menjayakan watak seorang guru 'gila seks' yang mengambil kesempatan terhadap pelajarnya menerusi telefilem Dania yang bersiaran di TV3 berkata, lakonan disifatkan berjaya apabila ia turut membangkitkan emosi sama ada amarah atau gundah penonton.

Fezrul membawakan watak Cikgu Bahar dalam telefilem arahan Eyra Rahman itu diterajui pelakon remaja berbakat besar, Puteri Balqis dan pelakon berkaliber, Aedy Ashraf yang ditayangkan baru-baru ini turut 'trending' di Twitter.

Katanya, telefilem yang mengangkat isu berat dalam masyarakat seperti gangguan seksual, rogol dan penunggang agama pastinya memberi dimensi dan kesan berbeza kepada emosi penonton berbanding dengan skrip stereotaip dan berulang.

FEZRUL syor pelakon baharu melengkapkan diri dengan memasuki kelas lakonan.
FEZRUL syor pelakon baharu melengkapkan diri dengan memasuki kelas lakonan.

"Sambutan baik penonton juga menunjukkan drama yang membawa isu dekat di hati masyarakat mampu memberi kesedaran dan pengajaran. Mungkin juga penonton sudah muak disogok cerita kisah cinta fantasi atau pewaris legasi perniagaan seperti 'Megah Holding'.

"Gandingan mantap pelakon muda dan berbakat seperti Puteri Balqis dan Aedy juga memudahkan lagi penghayatan dalam setiap babak yang dijayakan, sekali gus memberi 'rasa' dan 'jiwa' dalam telefilem itu.. komitmen sebegini yang perlu ada dalam diri setiap pelakon," katanya.

Mengulas perkembangan kariernya, pelakon kelahiran Johor Bahru ini berkata, dia baharu saja selesai penggambaran filem Batu Syaitan bergenre komedi seram yang dijangka ditayangkan tahun depan.

Katanya, beberapa drama lakonannya turut akan ditayangkan termasuk drama bersiri Aku Seorang Perempuan arahan Hashim Rejab yang diinspirasi daripada kisah penyanyi Siti Nordiana.

Fezrul akan membawakan watak bekas suami Siti Nordiana iaitu pelakon, Allahyarham Faizal Yusof dalam drama bersiri 13 episod itu yang menemui penonton pada 19 November depan di TV9.

"Selepas ini juga saya akan meneruskan penggambaran drama bersiri berjudul Persepsi bersama Skop Production selain turut menerima beberapa tawaran lain yang masih dalam perbincangan," katanya yang turut melakonkan watak juruterbang Mejar Zahid dalam filem Air Force: Selagi Bernyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 6:16 AM